MAFI tak cadang import benih padi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak bercadang untuk mengimport benih padi dari luar negara kerana penghasilan daripada varieti padi tempatan adalah lebih tinggi berbanding jika menggunakan benih import.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Hamzah berkata pada masa ini, MAFI telah menghasilkan beberapa padi awal matang yang boleh dituai dalam masa 110 hari dan menghasilkan sehingga tujuh hingga 10 tan padi sehektar.

“Benih-benih seperti MR253, MR220, MR303 dan MR307 menjana penghasilan yang lebih tinggi dan pembelian benih padi dari luar adalah tidak disyorkan buat masa sekarang,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mahukan penjelasan adakah MAFI bercadang mengimport benih padi dari negara yang lebih terkedepan dalam penghasilan padi seperti Thailand bagi menjamin simpanan beras negara.

Ahmad berkata faktor jenis tanah dan cuaca di negara lain yang berbeza dengan negara ini juga mempengaruhi jumlah penghasilan padi, justeru pengimportan benih padi dari luar bukan jaminan penghasilan yang sama seperti negara asal.
 
Menjawab soalan asal mengenai status penyelidikan dan pelaksanaan penanaman padi tiga kali setahun serta kesan kepada simpanan beras dan keselamatan makanan negara, Ahmad berkata pelaksanaan penanaman padi tiga kali setahun tidak digalakkan buat masa ini atas beberapa faktor.

Antaranya ialah hasil kajian dijalankan, ia tidak memberikan peningkatan hasil kepada pesawah malah kos pengeluaran meningkat, serangan penyakit yang sukar kerana penanaman di luar musim sedia ada dan bebanan kewangan kepada kerajaan kerana pemberian subsidi input dan ouput.

Buat masa ini katanya, penanaman padi negara adalah dua kali setahun di kawasan jelapang dan sekali setahun di luar jelapang dengan 40 peratus pengeluaran dari kawasan jelapang. – BERNAMA

- Advertisement -