Cukuplah 22 bulan bersama PH

- Advertisement -

SALAH satu kekuatan yang tertanam di dalam sanubari ahli-ahli PAS adalah walak dan taat; iaitu walak kepada perintah Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W tanpa berbelah bahagi serta taat kepada kepimpinan PAS dengan penuh kesungguhan. 

Ahli-ahli PAS amat waras apabila membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Mereka tidak semberono atau membuta tuli mengikuti sebarang bentuk arahan kecuali suruhan tersebut memang sah keluar dari parti atau pihak pimpinan atasan. 

Dengan perkataan lain bahawa ahli-ahli PAS tidak mudah untuk menerima tunjuk ajar dari pemimpin lain terutamanya di dalam hal membuat keputusan politik. 

- Advertisement -

Semalam, bakal Presiden Parti Pejuang meletakkan harapan yang tinggi kepada ahli-ahli PAS agar mengalihkan undi mereka kepada calon bebas yang memegang angka no. 1 dalam kertas undi. Beliau menyatakan bahawa ramai ahli-ahli PAS tidak berpuas hati dengan pencalonan daripada BN untuk beradu undi dalam PRK Slim Sabtu ini.

Dalam hal ini, saya tidak berapa yakin bahawa harapan bakal Presiden Parti Pejuang itu akan tertunai kerana ahli-ahli PAS dan serata rakyat telah mengenali individu-individu yang berhempas pulas mengemudi penubuhan parti berkenaan.

Cukuplah 22 bulan figura-figura parti  berkenaan bersama PH menguruskan kerajaan. Banyak persoalan daripada jawapan yang timbul sepanjang pemerintahan mereka. Setiap hari rakyat tertanya-tanya apa pula isu terbaru Kerajaan PH yang dapat menjadi bahan sembang di kedai kopi.

Isu terbaru adalah mengenai 101 projek bernilai RM6.6 bilion yang dibuat secara rundingan tender terus semasa pemerintahan Kerajaan PH. Persoalannya, bagaimanakah keadaan ini boleh berlaku kerana merekalah yang sering mempromosi projek kaedah rundingan tender terbuka? Cakap lain, buat lain.

Hari ini ahli-ahli PAS sudah mula menerima realiti kewujudan Muafakat Nasional (MN) di semua peringkat. Masing-masing PAS dan Umno-BN berusaha memperkukuhkan permuafakatan politik sedia ada. Ditambah pula dengan penerimaan BERSATU sebagai ahli MN.

Bahkan tidah salah dikatakan bahawa permuafakatan baru politik ini merupakan hadiah penyatuan ummah sempena tahun Hijriah 1442. Tugas ahli-ahli PAS adalah memperkukuh dan menyubur benih muafakat yang disemai hampir setahun lalu. 

Justeru, bakal Presiden lupakan sahaja niat untuk menemui ahli-ahli PAS bagi meraih undi simpati. Pulun hat yang dok ada pun cukup dah. 

Ahli-ahli PAS pula, insya-Allah bersama keputusan pemimpin PAS dengan memperkasakan MN. Siiru ‘ala barakatillah. Selamat mengundi. 

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/8/2020

- Advertisement -