Bekas Menteri PH bantah tindakan pernah dibuatnya?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertikaian Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook terhadap langkah memberi diskaun saman jalan raya yang didakwa menyebabkan rakyat tidak serik melakukan kesalahan telah disangkal Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

- Advertisement -

Kata Amzad, kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan demikian bukanlah bertujuan menggagalkan peruntukan perundangan melibatkan saman kesalahan tersebut, tetapi atas dasar keprihatinan terhadap pelbagai kesusahan sedang dihadapi rakyat ketika ini.

Terangnya yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, ia berikutan kedudukan ekonomi rakyat merosot di bawah Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini dan kemudian diburukkan lagi dengan masalah melanda negara dan dunia kesan pandemik COVID-19.

“Kerajaan mahu bantuan tunai diberi kerajaan agar digunakan sepenuhnya untuk kegunaan rakyat. Tak mahu mereka tersepit antara untuk beli makanan atau bayar saman!

“Saya rasa Malaysia Prihatin lebih dihayati dengan prihatin masalah rakyat. Rakyat pula prihatin dengan bantu patuhi undang-undang, jayakan dasar kerajaan.

“Tak kira pemimpin atau rakyat, tiada beza. Hukuman ikut undang-undang yang ada,” ujarnya merujuk perbahasan disuarakan Loke dalam RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menurut Amzad lagi, Kerajaan PH semasa Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menjadi Menteri Pengangkutan sebelum ini telah bertindak membatalkan saman AES yang belum dibayar sehingga 31 Ogos 2018. – HARAKAHDAILY 26/8/2020

- Advertisement -