Akta Perlindungan Data Peribadi masih dibincang

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses perbincangan bersama agensi serta pihak berkaitan bagi meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berhubung perlindungan data peribadi memandangkan sehingga kini pengguna berdaftar aplikasi MySejahtera telah mencecah 15.1 juta.

“Kita (kerajaan) belum bawa ke mesyuarat kerana masih dalam peringkat perbincangan mengenai keperluan meminda akta itu. Sebarang keputusan selepas ini kita serahkan kepada kabinet,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Advertisement

Zahidi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang ingin tahu sama ada Akta 709 terpakai kepada kerajaan persekutuan serta jaminan terhadap data peribadi yang didaftarkan setiap individu ketika ingin memasuki mana-mana premis.

Kepada soalan asal Gobind mengenai keberkesanan aplikasi yang dibangunkan kerajaan ketika negara dilanda pandemik COVID-19,  Zahidi menjelaskan bahawa terdapat tiga aplikasi yang dibangunkan iaitu Gerak Malaysia, MySejahtera dan MyTrace.
 
Mengulas mengenai kos aplikasi yang dibangunkan, Zahidi berkata kos bagi ketiga-tiga aplikasi itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak industri.

Mengenai jaminan perlindungan data peribadi, Zahidi berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi pada 29 Mei lepas telah mengeluarkan tatacara pengendalian pengumpulan, pemprosesan dan penyimpanan data peribadi oleh premis perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Antara yang digariskan adalah premis perniagaan hanya perlu merekodkan nama, nombor telefon, tarikh serta masa kehadiran pengunjung, paparan notis jelas mengenai tujuan pengumpulan data peribadi, dan tempoh masa penyimpanan data peribadi adalah sehingga selepas enam bulan PKP ditamat,” katanya.

Zahidi yang juga ahli Parlimen Padang Besar menegaskan bahawa setiap premis perniagaan mesti memadam atau memusnahkan data peribadi yang diberikan pelanggan secara kekal agar tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab. – BERNAMA