Warga kulit hitam ditembak, lagi tunjuk perasaan

- Advertisement -

WASHINGTON, Amerika Syarikat: Pasukan Pengawal Negara ditempatkan di bandar Kenosha, Wisconsin apabila tunjuk perasaan ganas meletus berikutan insiden seorang lelaki kulit hitam ditembak, lapor Agensi Berita Sputnik.

Gabenor Wisconsin, Tony Evers dalam satu kenyataan pada Isnin berkata beliau sudah memberi kebenaran untuk penempatan pasukan itu.  

“Ia penempatan terhad dan fokus utama Pengawal Negara untuk menyokong keperluan pihak berkuasa tempatan melindungi infrastruktur penting seperti utiliti dan stesen bomba selain memastikan penduduk Kenoshi dapat berhimpun dengan selamat,” kata Evers. 

- Advertisement -

Akhbar Milwaukee Journal Sentinel melaporkan kira-kira 125 pasukan Pengawal Negara akan dikerahkan di Kenosha pada Isnin malam.

Lelaki yang ditembak polis pada Ahad dikenal pasti sebagai Jacob Blake, dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan. 

Blake cuba meleraikan pergaduhan antara dua wanita ketika pegawai polis tiba di lokasi kejadian dan pihak berkuasa mahu berbincang dengan Blake.

Pegawai polis melepaskan beberapa das tembakan apabila Blake dikatakan cuba meninggalkan lokasi kejadian, lapor media.

Penduduk yang meradang dengan insiden itu, mengadakan bantahan dan polis menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan penunjuk perasaan dan pihak berkuasa mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh bandar raya itu. 

Kemudian, seorang pegawai kanan pentadbiran memberitahu wartawan, Peguam Negara AS William Barr mengatakan Jabatan Kehakiman sedang meneliti perkara itu.

“Kami masih menyiasat dan menentukan apa sebenarnya yang terjadi,” kata pejabat itu.

Malam ini, seorang pegawai atasan akan berbincang dengan Barr dan memberi taklimat kepada Presiden Donald Trump. – BERNAMA

- Advertisement -