Undi untuk pertahan agama, bangsa dan negara

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Kemenangan calon BN pada PRK DUN N.58 Slim amat penting untuk menguatkan suara yang akan mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan tanah air, selain isu-isu warga setempat khususnya di Sidang DUN Perak.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Lajnah Dakwah Muslimat PAS Kawasan Tanjung Malim, Ustazah Aqilah Asri berkata, kerana itulah PAS bersama parti-parti lain turut membantu Umno bagi mencapai kemenangan ke atas calon mewakili Perikatan Nasional itu.

Jelasnya, agenda yang bermula sejak penyatuan ummah PAS-Umno hingga mewujudkan Muafakat Nasional itu lantaran menyedari gugatan terhadap agama, bangsa dan negara sebagaimana dilalui sepanjang 22 bulan diperintah Kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berucap menyampaikan tazkirah dan bacaan Yaasiin bersama penduduk setempat di Markas PAS Kampung Sabar Jaya, Sungkai, di sini baru-baru ini.

Peringatnya, dengan ancaman telah ditunjukkan itu, umat Islam di negara ini hakikatnya mempunyai tanggungjawab sebagaimana dinyatakan ayat 65 surah Yaasiin itu di mana disoal amalan dalam keadaan mulut telah dikunci.

“Apa yang kita buat, Allah akan persoalkan. Bukan sahaja soal pilihan raya. Malah dalam hal rumah tangga (pun) Allah akan tanya. Kamu sebagai isteri, apa tanggungjawab yang telah kamu laksanakan terhadap suami dan keluarga kamu.

“Banyak sangat kewajipan yang Allah akan persoalkan. (Tetapi) tuntutan pada hari ini kita perlu turun mengundi, pilih pemimpin yang benar. Yang tak faham, kita perlu bagi faham supaya kali ini, kita perlu undi Barisan Nasional (BN),” serunya.

Menyentuh sikap PH yang merendahkan sistem beraja, jelasnya sejarah Islam membuktikan kepentingan monarki telah sekian lama wujud, namun tidak ditolak atau dimansuhkan Rasulullah.

Namun yang penting jelas Ustazah Aqilah, adalah menekankan tiga elemen wajib dilaksanakan iaitu mengaku bahawa Allah adalah Rabb, meyakini Allah Maha melindungi dan Allah Maha Mentadbir alam semesta ini.

“Kadang-kadang kita rasa gerun dan takut (berjuang). Ingatlah Allah itu sebagai wali yang akan menjaga kita. Kalau kita tak jaga agama Islam di dunia, kita jangan bimbang, ada orang (lain) akan jaga Islam. (Tetapi) kita rugi sebab kita tak jadi orang yang menjaga agama Allah,” ujarnya memberi motivasi.

Oleh itu terangnya, seluruh pengundi DUN Slim khususnya ahli PAS dan Umno hendaklah memberikan sokongan terhadap calon BN di dalam PRK ini bagi mengelakkan timbulnya kemudaratan lebih besar  sepertimana telah dilalui.

“Kita lantik pemimpin, tetapi tak nak taat kenapa? Kahwin dengan Abu, tetapi tak dengar cakap dia, buat apa jadi bini dia. Begitulah dalam bab kepimpinan. Bila kita dah lantik pemimpin, kita perlu beri sokongan pada mereka. Kerana mereka sedang buat kerja mereka untuk kita,” ujar beliau.

Terangnya lanjut, kerjasama PAS dan Umno hendaklah diperkukuh khususnya dalam menjayakan kebaikan dan ketakwaan yakni mendekatkan diri kepada Allah kerana kerjasama itu jelas telah diperintah dan digariskan oleh Allah di dalam Al-Quran.

Turut hadir di dalam majlis itu, Ahli PAS Kampung Sabar Jaya, petugas pilihan raya Muslimat PAS dan Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Tanjung Malim. – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -