SAM sokong tutup sementara ladang babi

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menggesa pihak berkuasa tempatan dan jabatan berkenaan menyokong tindakan tegas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang mengesyorkan agar semua ladang ternakan khinzir di Kampung Selamat, Tasek Gelugor ditutup sementara. 

Sambil menyatakan sokongan terhadap cadangan itu, Presiden SAM Meenakshi Raman berkata tindakan tersebut perlu bagi memastikan pengusaha ladang ternakan terbabit mematuhi sistem pelepasan sifar dan menghentikan pembuangan sisa kumbahan khinzir ke dalam sungai.

“Ini adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan penduduk di sini dan masyarakat sekitar sejak empat dekad yang lepas,” katanya dalam kenyataan.

- Advertisement -

Beliau berkata kesan buruk akibat pencemaran Sungai Kreh bukan hanya mempengaruhi kesihatan awam dan kesejahteraan penduduk tetapi turut merosakkan kualiti air, udara dan tanah.

Menurutnya pencemaran itu juga berpotensi menjejaskan reputasi Pulau Pinang untuk menjadi negeri yang lebih bersih, hijau dan sihat.

“Oleh itu, tindakan dan cadangan KASA sangat diperlukan dan kami menyokong cadangan untuk menghentikan sementara operasi penternakan babi di Kampung Selamat demi melindungi alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

KASA pada Ahad lepas mencadangkan penutupan semua ladang penternakan babi di Kampung Selamat sehingga satu penyelesaian dicapai bagi melaksanakan sistem pelepasan sifar membabitkan isu sisa kumbahan babi yang dibuang terus ke dalam Sungai Kreh. – BERNAMA

- Advertisement -