RUU kurang kesan COVID-19 sokong PRIHATIN, PENJANA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 bersifat menyokong inisiatif pemulihan ekonomi oleh kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Ketika membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan berkata RUU tersebut memberi pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian atau pematuhan kepada perundangan tertentu bagi suatu tempoh ditetapkan demi kelangsungan hidup rakyat.

“Persoalan sama ada rang undang-undang ini, dengan izin, ‘too little too late’ atau ‘better late than never’ adalah tidak berbangkit kerana isu yang dihadapi kesan daripada COVID-19 bukan sahaja telah diambil tindakan oleh kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi, malah diselesaikan dengan menggunakan perundangan sedia ada,” katanya pada pembentangan kali kedua RUU itu di sini.

- Advertisement -

Takiyuddin berkata RUU itu juga tidak memperuntukkan hukuman atau penalti jika berlaku pelanggaran terhadap peruntukan yang ada dalam RUU berkenaan, dan ini selaras dengan hasrat kerajaan agar RUU tersebut tidak bersifat menghukum yang membebankan mana-mana pihak kerana wabak COVID-19 tidak bersifat mendiskriminasi.

“Virus ini tidak mengenal yang kaya atau miskin, majikan atau pekerja, peniaga atau pembeli, yang berada di bandar atau di desa. Kesan COVID-19 dirasai oleh semua pihak. Apabila satu pihak terkesan bermakna seluruh rantaian ekonomi akan turut terkesan,” katanya.
 
Sehubungan itu, beliau berkata RUU tersebut memperuntukkan platform pengantaraan bagi pihak yang bertikai untuk menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah.

Ini sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kedua-dua pihak diberikan peluang sama rata bagi menyelesaikan pertikaian secara baik serta perjanjian penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak hendaklah ditandatangani dan dianggap muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.

Sementara itu, Takiyuddin berkata penggubalan RUU itu melalui proses yang kompleks melibatkan semua pihak selain isu-isu yang dimasukkan diperoleh melalui sesi libat urus yang komprehensif dengan pihak-pihak berkepentingan seperti kementerian, jabatan, agensi persekutuan termasuk Sabah dan Sarawak, pihak industri, organisasi masyarakat dan organisasi bukan kerajaan. 

Jelasnya lagi, RUU itu turut melibatkan kajian dan rujukan terhadap model undang-undang beberapa negara seperti United Kingdom, New Zealand, Australia dan Singapura namun digubal mengikut acuan Malaysia dengan mengambil kira situasi semasa negara dan demi menjaga kepentingan pelbagai pihak.

Rang undang-undang itu bertujuan mengubah suai 16 perundangan iaitu Akta Had Masa 1953; Ordinan Had Masa Sabah; Ordinan Had Masa Sarawak; Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948; Akta Insolvensi 1967; Akta Sewa Beli 1967 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999. 

Akta lain ialah Akta Distres 1951; Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966; Akta Perhubungan Perusahaan 1967; Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010; Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987; Akta Mahkamah Kehakiman 1964; Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955. – BERNAMA

- Advertisement -