RM6.61b rundingan terus: PH khianati rakyat

- Advertisement -

SEMALAM Malaysia dikejutkan pendedahan oleh YB Senator Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kepincangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan proses Rundingan Terus bernilai RM6.61 bilion kepada 101 syarikat dalam tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan.

DAP pada PRU14 baru-baru ini menegaskan untuk tiada rundingan terus dilakukan tetapi sebaliknya berlaku. Kita yakin, Presiden PAN, serta pemimpin dan ahli mereka juga pasti terkejut kerana ianya tidak dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet seperti mana ditegaskan oleh Bekas Menteri Ekonomi YB Datuk Seri Azmin Ali dalam Dewan Rakyat kelmarin. Mereka berbohong kepada rakyat dan mereka juga berbohong sesama mereka di dalam Pakatan Harapan. 

Proses rundingan terus ini sememangnya perlu juga diadakan terutama pada keadaan tertentu contohnya pada ketika kecemasan atau darurat wabak COVID-19 menyerang dunia. Kementerian Kesihatan Malaysia terpaksa melakukan Proses Rundingan Terus beberapa peralatan perubatan yang kritikal termasuk ventilator bersama pembekal kerana keperluan mendesak pada ketika itu. Proses tender memerlukan sekurang-kurangnya 4 minggu untuk dimuktamadkan pembelian dan boleh jadi sehingga 16 minggu. Bermula tempoh PKP 18 Mac, ketika itu kerajaan memerlukan sehingga 800 unit ventilator untuk tujuan alat bantu pernafasan pesakit COVID-19 dan pada ketika itu dunia sudah mula kekurangan ventilator. Jika kita lambat, ventilator habis dijual di seluruh dunia dan bagaimana keadaan pesakit COVID-19 tadi, apakah mereka punya masa untuk menunggu proses tender? Maka proses rundingan terus dijalankan dengan mengambil kira pelbagai kaedah termasuk saringan syarikat yang berkemampuan. Dengan kecekapan kakitangan Kementerian Kesihatan, alhamdulillah Malaysia mendapat bekalan ventilatorsecukupnya. Pujian harus diberikan kepada Bahagian Perkembangan Perubatan dan Bahagian Perolehan dan Penswastaan Kementerian Kesihatan Malaysia.

- Advertisement -

Rundingan terus pasti ada prosesnya yang ketat dan kejujuran perlu ada pada semua pihak. Jangan membohongi rakyat dengan retorik politik semata-mata tetapi berpolitiklah secara matang dan sejahtera. Jadilah kerajaan yang jujur dan jadilah pembangkang yang mampu mengimbangi kerajaan untuk Malaysia bertambah maju dan makmur.

Kita yakin, SPRM akan membuka kertas siasatan baharu untuk kes ini tanpa mengambil enteng mengenai kes sebelum ini iaitu kes terowong ‘halimunan’. Sepenuh kepercayaan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Anda hero kami untuk membongkar segala salah laku yang terjadi pada masa sekarang dan selamanya.

BADZLI BAKAR
Ketua Penerangan 
Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -