RM6.61 bilion: Lim lapor polis terhadap Lim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) telah membuat laporan polis berhubung kelulusan 101 projek perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.

Pemangku Setiausaha Agung UMMAH, Dato’ Drs Khalil Idham Lim Abdullah membuat laporan itu susulan pendedahan oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa Sidang Dewan Rakyat, semalam.

Drs Khalil Idham yang juga Pengerusi UMMAH Negeri Perak menuntut siasatan terhadap isu tersebut di mana beliau mendahului laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Bagan Serai sebentar tadi.

- Advertisement -

Beliau juga menyeru NGO dan NGI lain untuk turut menyusuli tindakan sama kerana isu tersebut menimbulkan persoalan bagi kebanyakan rakyat Malaysia disebabkan jumlah kelulusan sangat besar itu.

“Pendedahan ini sangat serius dan saya anggap merupakan tindakan menyalah guna kuasa dan salah mengikut undang-undang negara dan hendaklah disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Iaitu Pegawai Badan Awam atau anggota Pentadbiran kerajaan menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan sesuatu perkara di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan.

“Oleh itu, saya minta pihak polis dengan segera membuat siasatan ke atas bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” tegas Idham Lim. – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -