KEWAFATAN Nabi Muhammad S.A.W pada 13 Rabiul Awwal 11H telah menimbulkan keributan di kalangan para Sahabat yang utama mengenai kedudukan pengganti Nabi S.A.W. Hal ini timbul kerana Nabi S.A.W tidak menamakan penggantinya secara jelas, kecuali memberikan isyarat yang umum sahaja. Nabi S.A.W juga tidak menyebutkan secara khusus bagaimanakah kaedah-kaedah pelantikan khalifah, selain mewajibkan umat mempunyai pemimpin. Akibatnya, dalam proses pelantikan khalifah, telah berlaku perbezaan cara pelantikan mereka, khususnya untuk 10 khalifah terawal, sebelum sistem dinasti dimulakan oleh Marwan bin Hakam pada tahun 64H.
Kerana perbezaan dalam cara-cara pelantikan khalifah ini, khususnya di kalangan Khulafa’ ar-Rasyidin, maka para ahli Fiqh Siyasi tidak membuat rumusan secara konkrit mengenai kaedah pelantikan khalifah sesudahnya, bahkan khalifah dianggap sah Apakala dibai’ah oleh umat. Yang menjadi fokus perbahasan para ulamak ialah kewajipan negara mempunyai khalifah (ketua negara), syarat-syarat kelayakan sebagai khalifah, tanggungjawab dan hak para khalifah dan rakyatnya, hal-hal berkaitan bai’ah dan lain-lainnya. Ini menunjukkan bahawa Islam memberikan kelonggaran mengenai teknikal pelantikan khalifah, tetapi memberati kewajipan melantik khalifah dan syarat-syarat kelayakan seseorang calon khalifah.
Perbezaan cara pelantikan khalifah
Pelantikan khalifah yang berlaku dalam tempoh 70 tahun yang pertama, iaitu pada generasi terawal Islam dilakukan dengan cara yang berbeza-beza berdasarkan ijtihad para Sahabat, perkembangan politik semasa dan persaingan yang wujud. Pada 10 khalifah yang pertama, cara pelantikan mereka sangat dipengaruhi oleh faktor-faktor politik dan keadaan umat Islam semasa. Perbezaan-perbezaan ini memberikan isyarat kepada generasi kemudian, termasuk generasi mutakhirin mengenai hal tersebut. Pada hari ini pun timbul isu, apakah pelantikan pemimpin umat Islam menggunakan cara demokrasi berpilihan raya sah atau tidak pada pandangan Islam. Dalam hal seperti inilah, kita melihat sifat fiqh politik Islam yang luwes (flexible), tetapi mengekal prinsip-prinsip yang kukuh.
Untuk memahami hal cara-cara pelantikan khalifah ini, mari kita lihat bagaimana proses pelantikan khalifah pada generasi Salafi, iaitu 10 khalifah terawal pada abad pertama hijrah.
(I) Pelantikan Abu Bakar as-Siddiq.
Sebaik sahaja Nabi S.A.W wafat, para Sahabat Ansar telah berkumpul di rumah Sa’ad bin Ubadah kerana mereka ingin mencalonkan Sa’ad bin Ubadah sebagai khalifah Nabi di dalam pertemuan di Saqifah Bani Sa’idah. Kemudian, Sahabat Muhajirin turut mendatangi Saqifah Bani Sa’idah, lalu berlakulah perdebatan dan perbincangan mengenai siapakah yang sepatutnya menggantikan Nabi S.A.W di dalam memimpin umat. Kaum Ansar pada mulanya merasakan mereka berhak kerana mereka telah menolong Rasulullah S.A.W, tetapi kaum Muhajirin berhujah bahawa mereka yang lebih dahulu mendukung Rasulullah S.A.W, Baginda juga seorang Muhajirin dan Baginda telah menunjukkan Abu Bakar as-Siddiq sebagai imam solat ketika keuzurannya.
Di kalangan ahli-ahli keluarga Nabi S.A.W berpandangan bahawa yang paling berhak di kalangan Muhajirin itu ialah Ahlul Bait, kerana mereka mempunyai hubungan keluarga dengan Baginda S.A.W. Ada pula yang berpendapat bahawa jawatan khalifah adalah umum untuk Muhajirin kerana mereka berbangsa Quraisy. Bahkan, mereka berpendapat kaum Quraisy lebih dihormati sebagai pemimpin bagi orang Arab. Para Sahabat yang ikhlas dan diredhai Allah itu kemudiannya mengambil kata sepakat, setelah melakukan syura yang hangat tetapi bersikap sederhana. Mereka bersetuju jawatan khalifah dipegang oleh Muhajirin.
Abu Bakar as-Siddiq telah mencalon Umar bin al-Khattab dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah sebagai khalifah, tetapi Umar bin al-Khattab menolaknya, lalu mencalonkan Abu Bakar as-Siddiq. Kemudian, Umar bin al-Khattab menjadi orang yang pertama membai’ah Abu Bakar as-Siddiq, sedangkan Zaid bin Tsabit memulakan bai’ah dari kaum Ansar. Setelah itu semua Sahabat yang hadir dari kedua-dua pihak memberi bai’ah. Imam as-Suyuti berkata, Zubair bin al-Awwam dan Ali bin Abi Talib yang menguruskan jenazah Nabi S.A.W turut memberi bai’ah pada hari itu. Menurut Ibnu Ishak, pada keesokannya, Umar bin al-Khattab telah berkhutbah kepada orang ramai mengenai pemilihan Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah, lalu mereka semua memberikan bai’ah kepada Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah.
(II) Pelantikan Umar bin al-Khattab.
Ketika menjelang wafatnya Abu Bakar as-Siddiq, beliau memanggil para Sahabat terdekat dari Muhajirin dan Ansar, lalu bermesyuarat dan mencadangkan Umar bin al-Khattab sebagai penggantinya, dan cadangan ini persetujui oleh para Sahabat. Kemudian, Abu Bakar as-Siddiq memanggil beberapa Sahabat utama seperti Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan, Usaid bin Hudhair, Said bin Zaid serta sejumlah Sahabat Muhajirin dan Ansar yang lain, di mana mereka semua bersetuju dengan cadangan supaya Umar bin al-Khattab menjadi khalifah sesudah Abu Bakar as-Siddiq. Setelah mendapat persetujuan para Sahabat, Abu Bakar as-Siddiq telah memberitahu cadangan ini kepada Umar bin al-Khattab dan memintanya bersetuju.
Dengan persetujuan ini, Abu Bakar as-Siddiq telah memerintahkan supaya Uthman bin Affan menuliskan satu dekritmengenai cadangan khalifah untuk menamakan penggantinya. Menjelang kematiannya, Uthman bin Affan telah membacakan dekrit tersebut kepada umat Islam sehingga mendapat persetujuan orang ramai. Menurut Ali Mohamad as-Shalabi, Umar bin al-Khattab dilantik sebelum Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia, dan diberikan bai’ah setelah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia. Maka terlantiklah Umar bin al-Khattab dengan cadangan Abu Bakar as-Siddiq dengan dipersetujui oleh para Sahabat dan umat Islam semuanya.
(III) Pelantikan Uthman bin Affan.
Setelah Umar bin al-Khattab ditikam oleh Abu Lu’lu’ah, seorang Majusi, dan Umar bin al-Khattab menyedari saat kematiannya, telah menamakan enam orang Sahabat Muhajirin yang paling diredhai oleh Rasulullah S.A.W untuk membentuk Majlis Syura yang akan memilih salah seorang dari mereka sendiri sebagai khalifah. Enam orang itu ialah Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Zubair bin Awwan dan Talhah bin Ubaidillah. Umar bin al-Khattab tidak menamakan Said bin Zaid bin Amar bin Nufail kerana berasal dari kabilah Bani Adi (sepupu Umar), begitu juga beliau menolak pencalonan anaknya, Abdullah bin Umar.
Setelah Umar bin al-Khattab menetapkan perkara-perkara teknikal dalam permesyuaratan tersebut, maka enam orang Sahabat bersama Abdullah bin Umar bermesyuarat. Abdul Rahman bin Auf menarik dari dicalonkan dan akhirnya Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib tersenarai pendek. Apabila lebih ramai Sahabat yang bersetuju supaya Uthman bin Affan dipilih sebagai khalifah, maka Abdul Rahman bin Auf telah memulakan bai’ah sehingga ia diikuti oleh semua Ahli Majlis Syura itu dan kaum Muslimin. Dengan cara inilah, Uthman bin Affan diangkat sebagai khalifah yang ketiga.
(IV) Pelantikan Ali bin Abi Talib.
Pembunuhan Uthman bin Affan telah menyebabkan keadaan umat Islam menjadi tidak stabil. Orang ramai meminta Ali bin Abi Talib menjadi khalifah, tetapi beliau menolaknya. Setelah itu, kerana desakan orang ramai, para Sahabat telah meminta Ali bin Abi Talib mengambil jawatan tersebut, tetapi beliau tetap menolaknya. Umat Islam, termasuk para Sahabat merasakan bahawa Ali bin Abi Talib sahaja berhak untuk jawatan khalifah ketika itu. Setelah didesak, akhirnya Ali bin Abi Talib bersetuju menerima jawatan ini melalui bai’ah secara umum di Masjid Nabi untuk melantiknya sebagai khalifah. Lalu mereka berbondong-bondong membai’ah Ali bin Abi Talib sehingga menjadi ijmak di kalangan Muhajirin dan Ansar.
(V) Pelantikan al-Hassan bin Ali bin Abi Talib.
Ali bin Abi Talib telah dibunuh oleh puak Khawarij pada tahun 40H. Pada hari beliau ditetak itu, penduduk Kufah, Jundab bin Abdullah telah memohon kepada khalifah untuk mereka membai’ah al-Hassan bin Ali sebagai khalifah jika Ali bin Abi Talib wafat. Ali bin Abi Talib mengambil sikap tidak menyokong dan tidak membantah, sebaliknya menyerahkan kepada umat Islam. Sebaik sahaja Ali bin Abi Talib wafat, umat Islam yang dimulai oleh Qais bin Saad bin Ubadah telah membai’ah al-Hassan bin Ali, lalu ia diikuti oleh umat Islam di kalangan penduduk Kufah, Basrah dan Madinah.
(VI) Pelantikan Muawiyah bin Abu Sufyan.
Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib menjadi khalifah dalam suasana politik yang hangat bergolak, termasuk keengganan penduduk Syam memberikan bai’ah kepadanya. Setelah enam bulan menjadi khalifah, al-Hassan bin Ali berpandangan bahawa melancarkan serangan ke atas Syam yang dipimpin oleh Muawiyah bin Abi Sufyan tidak menguntungkan umat Islam, sebaliknya lebih baik beliau mewujudkan keamanan, perpaduan dan mencegah pertumpahan darah sesama umat Islam, lalu beliau memilih jalan perdamaian. Kemudian al-Hassan bin Ali telah membuat perjanjian damai, lalu menyerahkan kekhalifahan kepada Muawiyah bin Abu Sufyan dengan beberapa syarat yang tercatat dalam perjanjian itu. Ketika Muawiyah bin Abu Sufyan tiba di Kufah pada tahun 41H, beliau disambut oleh al-Hassan dan al-Hussain, lalu kedua-dua cucu Rasulullah S.A.W itu membai’ahnya, diikuti oleh umat Islam yang lain.
(VII) Pelantikan Yazid bin Muawiyah.
Banyak pengkaji mengatakan Muawiyah bin Abu Sufyan telah menyimpang dari cara pelantikan khalifah yang dibuat oleh Khulafa’ ar-Rasyidin kerana telah menamakan anaknya, Yazid bin Muawiyah sebagai putera mahkota. Tetapi menurut Prof Abdussyafi Muhamad Abdul Latif, bahawa pendapat yang kuat terhadap tindakan Muawiyah bin Abu Sufyan ini ialah khalifah bukan bermaksud melantik anaknya sebagai pengganti, tetapi beliau memandang keadaan politik dan masalah perpaduan umat Islam ketika itu. Ketika itu, terdapat beberapa pemimpin di kalangan anak-anak Sahabat seperti al-Hussain bin Ali, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Zubair yang dilihat berhak untuk jawatan itu.
Muawiyah bin Abu Sufyan berpandangan bahawa hanya Yazid bin Muawiyah yang paling mampu untuk menghadapi pergolakan politik umat Islam ketika itu. Beliau khuwatir jika orang lain menjadi khalifah selepasnya, maka umat akan kembali berpecah. Faktor ini juga dipegang oleh Ibnu Khaldun sebagai sebab pelantikan Yazid bin Muawiyah. Atas sebab itu, beliau menamakan Yazid bin Muawiyah sebagai putera mahkotanya. Umat Islam, termasuk Abdullah bin Umar kemudian membai’ah Yazid bin Muawiyah sebagai putera mahkota. Sepanjang sejarah, hanya Abdullah bin Zubair dan al-Hussain bin Ali sahaja yang dicatatkan menolak Yazid bin Muawiyah sebagai bakal khalifah. Ketika Muawiyah bin Abu Sufyan wafat, umat Islam membai’ah Yazid bin Muawiyah.
(VIII) Pelantikan Muawiyah II bin Yazid.
Muawiyah II bin Yazid telah dinamakan oleh ayahnya sebagai putera mahkota. Pada hari kematian ayahnya, Yazid bin Muawiyah pada tahun 64H, beliau di bai’ah oleh umat Islam. Tetapi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat, lalu beliau menyatakan penolakannya. Beliau bersedia menyerahkan jawatan itu kepada orang lebih baik atau dimesyuaratkan oleh ahlul hallil wa al-aqdi jika ada orang layak untuk membentuk syura itu. Lalu beliau meninggalkan jawatan tersebut kerana berasa dirinya tidak layak. Beliau masuk ke rumah dan tidak keluar lagi sehingga beliau wafat empat bulan kemudian. Imam as-Suyuti berkata, beliau sedang uzur ketika dibai’ah.
(IX) Pelantikan Marwan bin Hakam bin al-‘As.
Keengganan Muawiyah II bin Yazid menjadi khalifah telah menimbulkan pergolakan di antara Bani Umayyah dengan Abdullah bin Zubair. Abdullah bin Zubair sebagai Sahabat Nabi S.A.W dilihat lebih layak dan diterima oleh orang Hijaz. Seorang lagi tokoh ialah Marwan bin Hakam bin al-‘As (sepupu Uthman bin Affan bin al-‘ As) yang pernah dilantik sebagai Gabenor Madinah dan Putera Mahkota Kedua oleh Muawiyah bin Abu Sufyan. Selain itu, ada pihak yang mahu mengangkat adik kepada Muawiyah II, Khalid bin Yazid bin Muawiyah sebagai khalifah. Prof Abdussyafi Muhamad Abdul Latif berkata, Abdullah bin Zubair telah dibai’ah oleh orang Hijaz, Iraq, Mesir dan sebahagian orang Syam ketika itu. Marwan bin Hakam juga hampir membai’ahnya.
Kemudian, ketika umat Islam berpecah kepada tiga kelompok, beberapa pemimpin Bani Umayyah iaitu al-Hushain bin Numair dan Ubaidillah bin Ziyad (dari Basrah) telah berjaya mempengaruhi penyokong Khalid bin Yazid, bahawa Marwan bin Hakam lebih layak. Mereka bersetuju supaya Khalid bin Yazid yang masih muda dijadikan khalifah selepas Marwan bin Hakam. Suku Qais yang telah membai’ah Abdullah bin Zubir hampir menarik balik bai’ah mereka dan ingin menyokong Marwan bin Hakam. Proses politik ini berlaku dalam satu persidangan Bani Umayyah di al-Jabiyah. Melalui bai’ah di al-Jabiyah ini, Marwan bin Hakam menjadi khalifah. Setelah itu, Marwan bin Hakam menguasai Perang Marj Rahith je atas Bani Qais dan menguasai Mesir, lalu meletakkan beliau sebagai penyambung dinasti Bani Umayyah. Imam as-Sayuti menolak kekhalifahan beliau kerana sebelumnya, Abdullah bin Zubair sudah dibai’ah.
(X) Pelantikan Abdul Malik bin Marwan.
Marwan bin Hakam wafat pada tahun 65H, sebelum sempat menjatuhkan Abdullah bin Zubair. Oleh kerana umat Islam telah berpecah kepada empat hingga lima kumpulan – iaitu Bani Umayyah (Syam hingga Mesir), Abdullah bin Zubair (Hijaz hingga Iraq), Khawarij Azariqah (di al-Ahwaz), Khawarij an-Najadat (di Yamamah) dan Syiah (di Iraq), maka Marwan bin Hakam menamakan anaknya, Abdul Malik bin Marwan sebagai putera mahkota. Ketika wafatnya Marwan bin Hakam, Abdul Malik bin Marwan dibai’ah di atas dasar beliau adalah keturunan yang sah kepada khalifah sebelumnya, Marwan bin Hakam. Pada tahun 73H, Yusof Hajjaj as-Tsaqafi telah membunuh Abdullah bin Zubair bagi pihak Abdul Malik bin Marwan dan dihitungkan bermula saat itu, Abdul Malik bin Marwan baru sah sebagai khalifah. Sejak itu, semua khalifah Bani Umayyah, Bani Abbasiyah dan Bani Othmaniyah dilantik secara warisan atau dinasti.
Keseluruhan daripada perbincangan ini, kita dapati bahawa proses pelantikan 10 orang khalifah terawal (tidak termasuk Abdullah bin Zubair) adalah dengan cara yang berbeza-beza. Pada peringkat awal, mereka dipilih secara demokratik walaupun tidak sama formulasinya. Pada zaman Umar bin al-Khattab, beliau menolak pencalonan anaknya, Abdullah bin Umar. Tetapi Ali bin Abi Talib yang tidak menyatakan sokongan kepada anaknya, al-Hassan bin Ali, namun beliau tidak membantahnya, lalu al-Hassan bin Ali dilantik. Muawiyah bin Abu Sufyan yang menjadi khalifah melalui perjanjian damai, menamakan anaknya, Yazid sebagai putera mahkota atas alasan untuk menstabilkan politik. Yazid bin Muawiyah pula menamakan anaknya, tetapi anaknya, Muawiyah II bin Yazid enggan. Marwan bin Hakam mengambil kerajaan melalui bai’ah kaumnya ketika politik sedang bergolak, kemudian meluaskan wilayah kekuasaannya. Beliau mewariskan takhta kepada anak, Abdul Malik bin Marwan. Bermula dari Abdul Malik bin Marwan, sistem dinasti telah dimulakan.
MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 25/8/2020