PAS-Umno Ampang teguhkan lagi ikatan MN

- Advertisement -

AMPANG: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Ampang yang mengikat permuafakatan secara rasmi sejak November lepas menyemarakkan lagi hubungan menerusi Majlis Maal Hijrah yang disambut di Kampung Ampang Indah, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Sempena majlis ini, Muslimat PAS dan Wanita Umno telah bergotong-royong memasak dan membungkus bubur lambuk sebelum diedar kepada orang ramai pada program dengan kerjasama Muslimat PAS Cawangan Kampung Ampang Indah itu.

Hubungan kedua pihak parti juga diserlahkan lagi dengan acara Konvoi Kemerdekaan yang melibatkan pelbagai kenderaan terutama anak-anak muda bermula dari Markas PAS Kawasan Ampang ke Bangunan Umno Bahagian Ampang.

Turut diadakan aktiviti menaikkan bendera PAS dan Umno serta pelancaran logo rasmi Muafakat Nasional Ampang disempurnakan Yang DiPertua PAS Ampang, Khasim Abdul Aziz dan Ketua Umno Ampang, Dato’ Ismail Kijo sebagai simbolik penyatuan tersebut.

Kemeriahan itu turut diperluaskan kepada orang ramai, selain edaran bubur lambuk apabila diberikan juga cenderahati berupa Jalur Gemilang kepada 250 pengguna jalan raya di sini.

Kedua-dua pemimpin PAS dan Umno yang berucap pada majlis ini mengharap perpaduan bersama penduduk setempat terus intim dan kekal seterusnya mengorak langkah menuju PRU15 akan datang. – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -