PAS galang ganti perjuangan Khilafah Islamiyah

- Advertisement -

TAMBUN: PAS bukan merupakan wadah politik semata-mata, namun juga sebuah gerakan Islam dan galang ganti kepada sebuah Khilafah Islamiyah yang jatuh pada tahun 1924, demikian kata Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said.

- Advertisement -

“Orang kata, PAS bukan agama. Kita pun tak kata PAS agama. Tapi PAS (ni) platform untuk bawa agama. Ini yang kita semua perlu jelas. Kita nak angkat Islam guna platform apa? Semua ayat Allah mengajak kita bergerak secara jemaah,” pesannya.

Menurutnya, PAS sentiasa berperanan secara aktif mengembangkan usaha dakwah termasuk di Sabah dan Sarawak dengan menggunakan landasan politik bagi menjelaskan kepentingan bersiyasah kepada umat Islam.

“Sebelum ini penjajah pisahkan politik dengan ibadah. Masuk dalam surau (dikata) berpolitik, ceramah Israk Mikraj pun dikata politik. Selama 22 bulan kita tak ada kuasa politik, Islam dipijak, Nabi dihina, orang Melayu dicaci maki.

“Barulah kita sedar kenapa umat Islam kena jaga negara ini,” ujar beliau berucap di dalam majlis Pelancaran Page PAS Zon Chemor dan penyerahan ahli baharu di Kampung Seri Desa, di sini kelmarin.

Hurai beliau, PAS juga menjadi satu-satunya parti di Malaysia ini yang berpengalaman berkawan dan berlawan dengan semua parti politik lain dan mempunyai rekod strategi serta pendekatan berubah-ubah, namun tetap berpaksi ‘ilat hukum.

Malah PAS katanya, bersifat terbuka bekerjasama dan berkawan dengan sesiapa sahaja yang ingin memelihara Islam dan tetapi akan tampil menentang sesiapa sahaja mengganggu gugat Islam meskipun terpaksa kalah dalam pilihan raya.

“Kalau orang tak faham, dia tak akan nampak apa PAS buat ni. Zaman Tuan Guru Nik Aziz lain, zaman Ustaz Fadzil Noor lain. Kalau dia faham PAS, dia tak akan cakap macam tu (berubah-ubah mengikut kepentingan)

“Dia lupa, dia pun lain. Dulu lawan mereka, sekarang dia bersama mereka. (Contoh) Nira hukumnya halal. Tapi bila jadi tuak, ia haram. ‘Ilatnya mabuk. Daripada tuak jadi cuka. Maka (hukumnya) berubah balik. Itu contoh hukum feqah.

“Yang penting dasar asasnya tak berubah. Kalau kita ubah, habis kita,” ujarnya menegaskan bahawa keutamaan PAS adalah mempertahankan kepentingan Islam dalam segenap hal.

Mengakui ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, Ustaz Salleh menyatakan bahawa ia bukan masalah, sebaliknya yang perlu ditekankan ialah keperluan ahli PAS itu berintimak dengan perjuangan ini.

“Bila masuk PAS, kita kena sedia dibentuk. Diajar dalam PAS wala’ (ketaatan), thiqah (kepercayaan). Ia tidak datang daripada pemikiran sendiri. Dahlah pemikiran sendiri, terpengaruh pula dengan RBA dan sebagainya. Yakinlah ahli-ahli mengenai tarbiyah PAS ini,” seru beliau.

Nasihat beliau, setiap ahli seharusnya memainkan peranan utama iaitu bersedia untuk ditarbiyah dan dibentuk melalui program-prorgam dalaman yang berupaya membina fikrah sekali gus menjadi makanan rohani kepada seluruh ahli PAS.

“Makanan jasmani semua orang makan. Tapi makanan rohani ni tak semua orang makan. Sebab itu kita dapat tengok, orang yang tak terlibat dengan tarbiyah, dia mudah rebah. Apa punca nak masuk PAS tak ada masalah, tapi selepas itu kita kena memahami apa itu PAS,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -