Lapangan terbang Betong dibuka hujung tahun ini

- Advertisement -

BANGKOK, Thailand: Kerajaan sedang giat membangunkan sempadan wilayah selatan dan merancang untuk membuka lapangan terbang Betong di Wilayah Yala pada akhir tahun ini, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Wakil jurucakap kerajaan Rachada Dhnadirek berkata pemerintah meluluskan banyak projek berskala besar untuk pembangunan wilayah selatan yang jauh dan pelaksanaannya menunjukkan kemajuan baik.

Rachada berkata, rancangan pembukaan lapangan terbang Betong itu akan merangsang ekonomi tempatan berikutan peningkatan jumlah pelawat daripada 600,000 kepada sejuta setahun.

- Advertisement -

Pendapatan yang berkaitan dengan pelancongan dijangka akan melebihi empat bilion Baht setiap tahun.

Beliau menyebut projek 817.89 juta Baht untuk memperbaiki sembilan pusat pemeriksaan sempadan bersebelahan dengan sempadan Malaysia bagi memudahkan perdagangan sempadan Thailand-Malaysia.

Pelaksanaan projek tersebut akan bermula pada 2021, di samping projek lain berkaitan dengan kempen pembangunan hutan komuniti dan peningkatan penggunaan tanah.

Pokok yang mempunyai nilai ekonomi akan ditanam dan kerajaan menjangkakan 250,000 keluarga akan turut serta dalam projek ini. – BERNAMA

- Advertisement -