Krisis kekhalifahan pasca era Yazid

- Advertisement -

PELANTIKAN 10 orang khalifah terawal umat Islam di antara tahun 11H hingga 73H telah memberi warna terhadap kebangkitan politik Islam. Walaupun krisis dan pergolakan politik telah bermula pada pertengahan zaman pemerintahan Uthman bin Affan (23-35H), namun ia tidak benar-benar memecahkan umat Islam. Begitu juga pergolakan zaman Ali bin Abi Talib (35-40H) yang mencetuskan Perang Jamal, Perang Siffin dan Perang Nahrawan yang kemudiannya membentuk kelompok Syiah dan Khawarij. Sebaliknya, pergolakan yang besar berlaku selepas kewafatan Muawiyah bin Abu Sufyan pada 60H, di mana Hussein bin Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Zubair bin al-Awwam tidak menerima kekhalifahan Yazid bin Muawiyah.

Namun begitu, Yazid kekal sebagai khalifah selepas Hussein bin Ali dibunuh oleh penduduk Kufah di Karbala pada 61H dan satu kepungan dilakukan oleh tentera Yazid bin Muawiyah ke atas Abdullah bin Zubair di Makkah. Ketika kepungan ke atas Makkah dipertingkatkan oleh al-Hushain bin Numair, Yazid bin Muawiyah telah wafat dalam tahun 64H. Kewafatan Yazid bin Muawiyah telah menyebabkan al-Hushain bin Numair telah berundur dari Hijaz dan Abdullah bin Zubair dapat mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya. Di Damsyik, Muawiyah II bin Yazid yang telah dibai’ah telah menolak jawatan khalifah sehingga beliau wafat dua bulan kemudian.

Kekosongan jawatan khalifah

Kewafatan Muawiyah II bin Yazid dalam usia awal 20-an telah menyebabkan Bani Umayyah hampir kehilangan waris pengganti khalifah. Oleh kerana umat Islam belum mengakui kekhalifahan secara pewarisan, lalu mereka mencari tokoh yang paling layak untuk menggantikan Muawiyah II bin Yazid sebagai khalifah. Salah seorang tokoh utama di kalangan Sahabat as-Saghir ialah Abdullah bin Zubair, cucu Abu Bakar as-Siddiq. Tiga tokoh lain iaitu Hussein bin Ali telah terbunuh di Karbala pada 61H, Abdullah bin Abbas telah membawa diri ke Taif sebelum wafat di San’a pada 63H dan Abdullah bin Umar pula membai’ah Muawiyah bin Abu Sufyan, sebelum beliau dibunuh oleh Hajjaj Yusof as-Saqafi pada 73H. Maka tokoh yang paling kanan yang ada ialah Abdullah bin Zubair.

- Advertisement -

Dalam hal ini, kita dapati umat Islam telah berpecah kepada beberapa golongan berkait dengan kekhalifahan. Pertama, penduduk Hijaz, Iraq, Kufah, Basrah, Mesir dan sebahagian Syam telah membai’ah Abdullah bin Zubair. Kedua, keluarga Bani Umayyah terdiri dari al-Hushain bin Numair dan Ubaidullah bin Ziyad (Gabenor Kufah) telah mendesak Marwan bin Hakam bin al-‘As supaya menjadi khalifah, setelah tiga nama dari Bani Umayyah dicalonkan iaitu Marwan bin Hakam bin al-‘As, Amru bin Said bin al-‘As dan Khalid bin Yazid bin Muawiyah. Dan ketiga, seorang pemimpin Khawarij, al-Mustawrid bin ‘Ullafah pernah mengisytiharkan dirinya sebagai Amirul Mukminin atau khalifah di Baghdad, sebelum mereka dihapuskan oleh al-Mughirah bin Syu’ bah. Daripada ketiga-tiga golongan ini, ternyata Abdullah bin Zubair adalah yang pertama dibai’ah di Makkah dan beliau mendapat dukungan dari penduduk Hijaz, Iraq, Kufah, Basrah dan Mesir. Sebahagian penduduk Syam dari Bani Qais juga membai’ahnya.

Di Iraq, puak-puak Khawarij terus bergerak cergas mempengaruhi perkembangan politik negara sehingga berpecah kepada dua kumpulan iaitu al-Azariqah dan an-Najdiyah, di samping muncul kelompok Syiah. Golongan Khawarij memusuhi Bani Umayyah dan pernah untuk cuba berdamai dengan Abdullah bin Zubair, tetapi gagal. Mereka juga berusaha untuk menghancurkan pengaruh Abdullah bin Zubair di Iraq. Dalam kata lain, Khawarij memusuhi Abdullah bin Zubair yang telah dibai’ah sebagai khalifah di Hijaz dan juga memusuhi Bani Umayyah yang mahu merampas kekhalifahan dari Abdullah bin Zubair. 

Di Damsyik, Ubaidullah bin Ziyad telah mendesak Marwan bin Hakam yang mahu membai’ah Abdullah bin Zubair supaya menerima jawatan khalifah bagi pihak Bani Umayyah. Akhirnya, Marwan bin Hakam dibai’ah di dalam satu perjumpaan keluarga Bani Umayyah di al-Jabiyah. Dalam perjumpaan ini, Ubaidullah bin Ziyad, al-Hushain bin Numair, Amru bin Said dan penduduk Yaman telah memberi bai’ah kepada Marwan bin Hakam menjelang musim Haji 64H. Setelah itu, Marwan bin Hakam telah menyerang Bani Qais di Marji Rahith, sebelum beliau menawan Mesir dari wakil Abdullah bin Zubair. Walau bagaimanapun, dalam tahun 65H, Marwan bin Hakam telah wafat dan digantikan oleh anaknya, Abdul Malik bin Marwan.

Pada zaman Abdul Malik bin Marwan, beliau telah mengirimkan Hajjaj bin Yusof as-Saqafi untuk memerangi Abdullah bin Zubair di Hijaz. Dalam peperangan ini, Hajjaj bin Yusof as-Saqafi telah berjaya membunuh Abdullah bin Zubair dalam tahun 73H. Dengan pembunuhan Abdullah bin Zubair ini, keadaan umat Islam yang mempunyai dua khalifah sejak 64H telah berakhir, dan Abdul Malik bin Marwan dianggap menjadi khalifah yang sah mulai 73H. Beliau menjadi khalifah sehingga 86H, dan diganti oleh anaknya, al-Walid bin Abdul Malik.

Status sebenar khalifah era ini

Tempoh di antara saat kematian Muawiyah II bin Yazid pada 64H sehingga pembunuhan Abdullah bin Zubair pada 73H telah menjadi perselisihan di antara para ulamak, ahli sejarah dan pengkaji mengenai kedudukan sebenar khalifah. Adakah Marwan bin Hakam, seorang Sahabat Nabi S.A.W yang juga sepupu Uthman bin Affan sah menjadi khalifah setelah dibai’ah di al-Jabiyah? Atau adakah Abdullah Zubair yang telah dibai’ah lebih awal di Hijaz oleh penduduk Hijaz, Mesir, Kufah, Basrah, Iraq dan Syam adalah seorang khalifah yang sah? Adakah Marwan bin Hakam menjadi khalifah kerana mewarisi Kerajaan Bani Umayyah dan anaknya yang dibai’ah pada 65H juga sah sebagai khalifah.

Para sarjana terbahagi dua dalam ini. Pertama, sarjana moden seperti Prof Abdussyafi Muhamad Abdul Latif dan Prof Hamka telah mengakui kekhalifahan Marwan bin Hakam. Kedua, para sarjana klasik seperti at-Thabari dan as-Suyuti, tidak mengakuinya, sebaliknya menganggap Abdullah bin Zubair sebagai khalifah yang sah. Pendapat ini turut didukung oleh sarjana moden seperti Dr Yusof al-‘Isy, Dr Mahayudin Yahya, Dr MA Shaban, Taha Hussein, Qasim Ibrahim dan Muhammad A Salleh. Bagi yang mengakui kekhalifahan Abdullah bin Zubair, mereka menganggap pembai’ahan Abdullah bin Zubair selepas kewafatan Muawiyah II bin Yazid sebagai sah dan Marwan bin Hakam yang dibai’ah kemudian sebagai pemberontak.

Sarjana yang menerima kekhalifahan Marwan bin Hakam pula, melihat masalah pewarisan khalifah dalam Dinasti Bani Umayyah. Selepas kematian Muawiyah II bin Yazid, mereka melihat kekhalifahan adalah hak Bani Umayyah. Sekali gus menjadi asas untuk menerima Abdul Malik bin Marwan sebagai pengganti Marwan bin Hakam pada 65H. Marwan bin Hakam bin al-‘As bin Umayyah bin Abdul Syam adalah dua pupu Muawiyah bin Abu Sufyan bin Harb bin Umayyah bin Abdul Syam, sekali gus menantu Yazid bin Muawiyah. Muawiyah bin Abu Sufyan pernah melantiknya sebagai Gabenor Hijaz, selain turut menjadi putera mahkota kedua selepas Yazid bin Muawiyah. Atas asas ini, Marwan bin Hakam dikirakan sebagai berhak untuk dibai’ah dan bai’ah di al-Jabiyah itu dikira sah.

Ada pun kedudukan Abdul Malik bin Marwan mempunyai status seperti ayahnya. Kelompok yang mengesahkan kekhalifahan Marwan bin Hakam, mengesahkan kekhalifahan Abdul Malik bin Marwan. Begitu juga sebaliknya. Namun begitu, para sarjana yang menolak Abdul Malik bin Marwan mengatakan kekhalifahan Abdul Malik bin Marwan hanya sah dan berlaku mulai 73H, iaitu setelah Abdullah bin Zubair dibunuh. Dalam kata lain, mereka menerima gerakan politik Bani Umayyah yang melancarkan serangan ke atas Abdullah bin Zubair dan mereka mengakui keabsahan kuasa politik yang dimiliki Abdul Malik bin Marwan yang diperolehi dengan membunuh khalifah sebelumnya.

Beberapa pelajaran fiqh mengenai kekhalifahan

(I) Pengangkatan khalifah adalah sah setelah beliau dibai’ah oleh umat Islam dan jawatan tersebut sah sehingga kematiannya atau beliau meletak jawatan atau dilucutkan.

(II) Mengangkat khalifah kedua secara serentak selepas khalifah pertama dibai’ah adalah tidak sah. Mereka dianggap sebagai pemberontak (bughah).

(III) Para pemberontak, jika mereka berhasil membunuh atau menjatuhkan khalifah yang sedang berkuasa, lalu beliau dibai’ah mengganti khalifah yang dijatuhkan atau dibunuh, kekhalifahannya diakui sah.

(IV) Berdasarkan kisah pergulatan kuasa di antara Abdullah bin Zubair dengan Marwan bin Hakam dan Abdul Malik bin Marwan, maka Abdullah bin Zubir dianggap sebagai khalifah yang sah seperti yang diakui oleh at-Thabari dan as-Sayuti. Ada pun pembai’atan Marwan bin Hakam adalah tidak sah. Sebaliknya, kedudukan Abdul Malik bin Marwan yang mewarisi Kerajaan Bani Umayyah hanya sah selepas tahun 73H, iaitu setelah pembunuhan Abdullah bin Zubair.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 25/8/2020

Taha Husain, seorang pakar sejarah Islam di Mesir telah mengkaji pergolakan politik yang berlaku dalam sejarah Islam sejak zaman Uthman bin Affan sehingga pembunuhan Abdullah bin Zubair.
Kajian kedoktoran Dr Mahayudin Yahya mengenai

The Origin of Khawarij banyak mendedahkan pergolakan politik dan perpecahan umat Islam pada abad pertama Hijrah. Buku ini merupakan sebahagian daripada catatan beliau mengenai pergolakan politik pada era tersebut.

- Advertisement -