Kesakitan belia pasca pandemik

- Advertisement -

PANDEMIK COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada kehidupan manusia secara keseluruhan. Antara kesan yang boleh kita muhasabahkan adalah krisis ekonomi yang mengakibatkan pengangguran berleluasa khususnya dalam kalangan belia.

Sebelum pandemik COVID-19 menyerang Malaysia, kadar pengangguran belia di negara ini sudah pun tinggi, iaitu pada paras 10.7 peratus berdasarkan laporan statistik Kementerian Sumber Manusia dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Penularan wabak tersebut telah membawa satu impak besar baru kepada kesan pengangguran belia di negara ini. Golongan belia paling terjejas kerana mereka biasanya kumpulan terakhir diupah majikan dan kelompok pertama diberhentikan berikutan faktor kekurangan pengalaman bekerja serta jaringan sosial termasuk ketidakpadanan kemahiran.

- Advertisement -

Kadar pengangguran di negara ini, meningkat kepada lima peratus pada April tahun ini. Hal ini menjadikan bilangan penganggur meningkat 48.8 peratus dalam kadar tahunan kepada 778,800 orang. Disebabkan syarikat memerlukan masa untuk pulih, terdapat siri pemberhentian pekerja, potongan gaji dan cuti tanpa gaji. Pasaran kerja suram menggambarkan lepasan sekolah dan graduan universiti tidak bernasib baik dalam pasaran buruh kerana kekangan pengambilan pekerja baharu.

Belia bukan sahaja terdedah kepada peluang terhad dan kerugian pendapatan disebabkan COVID-19, bahkan mereka turut dibebani hutang seperti pinjaman pendidikan, kereta dan rumah. Belia yang dalam perancangan untuk berkahwin terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana tekanan ekonomi yang dihadapi termasuk diberhentikan kerja. Kesakitan lebih tinggi dirasai belia yang baru sahaja mendirikan rumah tangga apabila diuji dengan kehilangan pekerjaan di samping bebanan tanggungjawab yang baru dipikul mereka.

Fasa usia belia adalah fasa mencabar dek kerana mereka sedang mula untuk mencorak kehidupan sendiri. Usaha untuk membina karier terbantut apabila pandemik ini mengendurkan aliran ekonomi di seluruh dunia. Hilangnya punca kewangan memberi kesan besar dalam kehidupan tambahan pula duit simpanan mereka masih belum stabil.

Kajian Literasi Kewangan Malaysia Ringgit Plus (RMFLS) 2019 dengan kerjasama Visa mendedahkan sebanyak 43 peratus rakyat di negara ini membelanjakan semua pendapatan mereka. Media melaporkan kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai RM1,000 dalam simpanan.

Masyarakat perlu memberi perhatian dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh belia terutamanya golongan belia yang terkesan oleh pandemik ini. Kes kehilangan pekerjaan, pengangguran, bebanan hutang, dan keadaan kewangan peribadi yang tidak stabil adalah perkara yang perlu dipandang serius oleh masyarakat. 

Kekuatan sesebuah negara adalah amat bergantung pada sejauh mana kekuatan yang dibina oleh para belia. Jika belia di Malaysia ini diuruskan dengan baik maka Malaysia akan terus maju mencorak langkah pada masa hadapan.

USTAZ HAFEZ SABRI 
Pengarah DACS Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -