KASA serius tangani pencemaran najis babi

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Pencemaran Sungai Kreh yang disebabkan oleh pelepasan kumbahan najis babi dari aktiviti penternakan dijalankan telah mendapat perhatian serius daripada pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahik Tuan Man berkata, penutupan sementara kandang khinzir tersebut perlu dilakukan bagi mendapatkan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Maklumnya, Setiausaha Politik beliau, Dr Mohd Zuhdi Marsuki telah bertemu NGO dan penduduk ekoran pelbagai aduan yang diterima mengenai isu pencemaran sungai itu berpunca dari ternakan di Kampung Selamat, di sini.

Dr Zuhdi dalam tinjauannya ke lokasi mengambil maklum penderitaan dialami penduduk termasuk petani yang terkesan oleh pencemaran air di mana tidak dapat digunakan untuk penanaman mahupun aktiviti lain serta berbau busuk.

“Kita lihat sendiri bau dan warna air sungai ini tentunya menjejaskan kesihatan dan pertanian termasuk sawah padi yang menggunakan bekalan dari sungai sama. Kunci air di sini terpaksa dipindahkan untuk sawah padi mendapat air bersih,” ujarnya kelmarin.

Menurut Dr Zuhdi, KASA mencadangkan supaya operasi penternakan ladang babi tersebut yang menyebabkan pencemaran itu agar dihentikan sementara sehingga penternak akur untuk melaksanakan sistem pelepasan sifar.

Jelas beliau, pengusaha penternakan babi di situ mesti memberi komitmen untuk melakukan sistem pelepasan sifar dan tidak membuang najis babi terus ke dalam sungai di mana tindakan tersebut dapat dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan.

“Menteri (Dato’ Sri Tuan Ibrahim) akan menulis memo merentasi kementerian bagi menyampaikan cadangan untuk mengatasi masalah pencemaran dengan penternakan ini dihentikan sementara sehingga ada penyelesaian,” ujarnya.

Tinjauan tersebut turut disertai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dan EXCO Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Hanif Haron. – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -