Dua kali Lim Guan Eng ‘kantoi’ menipu

KUALA LUMPUR: Rakyat yang selama ini diberi kefahaman bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menawarkan kontrak kerja secara tender terbuka bagi menjamin aspek ketelusan dan integriti, ternyata telah dibohongi.

Advertisement

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, bahkan dokumen Manifesto PH yang turut menjanjikan pelaksanaan tender terbuka semasa PRU14 dahulu juga hakikatnya satu pembohongan kerana ia turut dimungkiri.

Katanya, penipuan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu didedahkan sendiri oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa terdapat 101 projek bernilai RM6.61 bilion diberi secara rundingan terus.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II menyatakan, Guan Eng kerana langsung tidak menafikan perkara itu, sekali gus menjadi pengakuan apabila mendakwa projek tersebut mendapat kelulusan daripada Kabinet.

“Namun sekali lagi penipuan ini juga ‘kantoi’ apabila ia dijawab terus oleh Menteri MITI (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) yang juga bekas Menteri Ekonomi semasa pentadbiran PH bahawa banyak pemberian itu dibuat terus tanpa makluman Kabinet apatah lagi kelulusan.

“Penipuan dua kali berturut-turut ini Guan Eng ini dibuat semasa dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen waktu yang sama. Ini jelas bercanggah dengan peraturan 36(12) Standing Order. Ini belum dikira penipuan-penipuan lain yang dibuat oleh pemimpin ini.

“Beliau kini seperti cuba menonjolkan beliau seumpama pembela orang-orang Melayu dan Islam padahal tindakannya sepanjang 22 bulan sangat-sangat dirasai oleh orang-orang Melayu dan Islam sebagai terancam,” bidasnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/8/2020