Bukan lumrah, tapi luar tabie – Ahmad Amzad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa pemberian kontrak secara rundingan terus adalah lumrah dalam kerajaan telah dibidas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

- Advertisement -

Kata Amzad, ianya satu kejutan besar apabila 101 kontrak berjumlah RM6.61 bilion yang secara purata setiap satunya sekitar RM65 juta itu berlaku dalam tempoh kurang dua tahun di mana ia bukan lagi lumrah, tetapi adalah satu perkara luar tabie.

Menurut beliau, berbanding kerajaan sebelum itu yakni BN yang melaksanakan konsep rundingan terus dan lain-lain, tetapi Pakatan Harapan setiap kali bertemu rakyat menyatakan tiada lagi kontrak rundingan terus, sebaliknya tender terbuka.

“Ini satu perkembangan yang sangat mengejutkan. Sebab di dalam Manifesto Pakatan Harapan sebelum ini menyenaraikan antara perkara yang menjadi prinsip di dalam pentadbiran di bawah Pakatan Harapan (adalah) tiada lagi rundingan terus, semua mesti melalui open tender.

“Yang mana kalau kita ingat perbahasan yang lalu banyak disasarkan kepada terutama sekali kontrak-kontrak yang diberikan kepada kontraktor-kontraktor kelas F orang Melayu.

“Rakyat mengharapkan lebih-lebih lagi bila kerajaan berkata mereka telah menukar konsep baru (kepada) rundingan terus. Sekurang-kurangnya kalau ada pun kita boleh terima kalau ada satu ataupun dua, ada tiga yang berasaskan kepada kecemasan. Mungkin yang itu kita boleh terima,” hujahnya.

Lebih luar tabie tempelak Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini, apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan Guan Eng mengenai hal tersebut yang tidak pernah dibawa apatah lagi diluluskan Kabinet.

Tegas Amzad, perkara sebesar itu tidak sepatutnya tidak dibawa ke pengetahuan Kabinet dan sekiranya kenyataan Dato’ Seri Azmin itu disebut secara salah, sudah tentu beliau sedia berdepan akibat dari tindakan undang-undang.

Beliau turut menyatakan bahawa jumlah sebesar itu dalam tempoh masa kurang 22 bulan menimbulkan persoalan sangat serius jika dibandingkan dengan kerajaan sebelumnya di mana mungkin terdapat unsur yang boleh menjejaskan negara.

Malah ujarnya, isu ini jauh lebih besar dan memerlukan penjelasan berbanding pelbagai isu yang cuba dialihkan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 25/8/2020

- Advertisement -