Teguh bawa Islam untuk capai kejayaan

- Advertisement -

WANGSA MAJU: Islam yang dibawa Rasulullah secara teguh dan konsisten di sebalik pelbagai halangan dan rintangan bukan sahaja tersebar meluas, tetapi turut dianuti oleh ramai manusia kerana selari dengan naluri manusia dan membawa kebaikan sejagat.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya menegaskan, Islam juga dibawa dalam pemerintahan di Madinah yang menjadi resepi kesejahteraan dan kegemilangan negara, bahkan berlaku peningkatan jumlah orang Islam.

“Ketika Rasulullah mula mentadbir Madinah, ada sekitar 200 orang Islam, kemudian setelah 10 tahun, jumlah itu meningkat ratusan ribu,” ujarnya merasmikan Muktamar Tahunan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan Kali Ke-37 di Diamond Square, di sini semalam.

Jelasnya, asas Islam itulah PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional bersama Umno pada September tahun lalu yang tiga bulan kemudian iaitu Disember, Perhimpunan Agung Umno meminda meletakkan Islam dalam Perlembagaannya.

Turut bersama dalam majlis perasmian tersebut adalah Setiausaha Wanita Umno Wilayah Persekutuan, Dato’ Noor Aeini Mohd Ali dan Pengerusi Tetap Srikandi BERSATU Wilayah Persekutuan, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir.

Majlis ini juga diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dialunkan Johan Qariah Peringkat Wilayah Persekutuan 2015 dan 2017, Ustazah Noor Suhaiza Chulan yang juga merupakan panel jemputan program MaiNgaji TV AlHijrah.

Turut menjadi tumpuan para hadirin adalah tabung replika rumah sebagai gimik pelancaran kutipan dana bagi penubuhan Pertubuhan Bakti Sumaiyah yang bakal dijadikan pusat perkembangan ilmu dan dakwah di samping menjadi khidmat masyarakat terutama untuk wanita.

Usaha Unit Menjahit PPE di bawah seliaan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan serta Khidmat Malaysia yang telah menjahit dan menyumbangkan lebih 500 set pakai perlindungan diri kepada petugas barisan hadapan negara dalam memerangi pandemik COVID-19 juga mendapat penghargaan khas dalam majlis ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Dr Rosni Adam menyeru supaya usaha menangkis persepsi negatif kaum wanita terhadap politik mesti dibuat sebagaimana dilaksanakan Muslimat PAS Kawasan Bandar Tun Razak.

Jelasnya, walaupun keanggotaan mereka kecil, tetapi dengan Islam mesti meyakini mampu membawa perjuangan ini ke hadapan antaranya menyemarakkan Gelombang AKIFI disamping gerak kerja politik lainnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -