Perubahan yang menyatukan bawa kemenangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan yang merupakan parti-parti campuran telah memerintah negara tanpa asas kepimpinan Islam setelah mereka memenangi PRU14 dalam keadaan majoriti bukan-Islam menguasai politik negara.

- Advertisement -

“Menyebabkan kita merasa cemas. PAS merasa cemas, walaupun Kerajaan Barisan Nasional yang kalah, Umno yang kalah, PAS susah sama. Mengapa PAS susah sama? Kerana kita macam dua kepala lutut, kalau pukul pada lutut kanan, lutut kiri sakit. Pukul lutut kiri, lutut kanan sakit, sama-sama sakit.

“Terpaksalah kita membuat perubahan. Kita balik kepada asas yang ditunjuk oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. Maka kita usaha untuk menggabungkan orang Islam, bermula dengan PAS dan Umno, ditubuhkan Muafakat Nasional, dibuat Piagam Muafakat Nasional.

“PAS fleksibel, Umno fleksibel. Sehingga Umno meminda Perlembagaan, mengalih Islam di hadapan. Umno pinda Perlembagaan, meletakkan Islam di hadapan. PAS ada juga perbincangannya. Kita berjaya mewujudkan Muafakat Nasional,” ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau mengimbas semula kemelut dilalui negara di bawah Pakatan Harapan sebelum wujudnya penyatuan ummah yang melahirkan Muafakat Nasional semasa berceramah pada PRK DUN N.58 Slim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, Tanjung Malim, malam tadi.

“Setelah Muafakat Nasional kita wujudkan, tak cukup, Ahli Parlimen kita tak cukup nak buat perubahan, macam kain selimut kecil, jumlah kerusi PAS, kerusi Umno tak mencukupi. Tutup kepala nampak kaki, tutup kaki nampak kepala.

“Terpaksalah kita mengambil, di samping sudah ada MCA, MIC bersama dengan Umno, ada Dewan Himpunan bersama dengan PAS. Tapi tak cukup, tak cukup. Terpaksa kita mengajak yang ada dalam kerajaan.

“Maka berlaku perpecahan dalam PH. Yang sedar, yang insaf keluar, bergabung, cukup jumlahnya. Maka dibentuklah Kerajaan Perikatan Nasional,” ujarnya menerangkan betapa usaha perubahan itu menyebabkan PAS dituduh khianat, menipu dan sebagainya.

Namun terangnya, PAS tidak menipu rakyat sebagaimana Manifesto PH yang hanya janji tanpa ditunaikan, sedang rakyat mengundi kerana janji-janji tersebut dan orang-orang Melayu pula saling berpecah menyebabkan PH menang.

Tetapi ujarnya, apabila pergaduhan dan perpecahan dihentikan serta masalah diselesaikan, kebersamaan dengan memasuki PRK DUN Sungai Kandis walaupun bermula tidak berjaya, namun setelah itu disusuli kemenangan. – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -