PAS paling banyak buat kerjasama politik

- Advertisement -

SEMAKIN ramai penganalisis dan pemerhati politik yang mula tertarik dengan politik PAS yang cuba melangkaui sempadan parti, tetapi meluaskannya di dalam sempadan persaudaraan akidah, kemanusiaan dan bangsa. Langkah PAS yang mengadakan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno sejak September 2019 adalah lanjutan daripada penyatuan dengan dua parti kecil, IKATAN dan BERJASA yang dibuat melalui Gagasan Sejahtera (GS) menjelang Pilihan Raya Umum 2018. MN ternyata memberikan impak yang besar terhadap kebangkitan politik umat Melayu Islam sehingga PH dapat ditumbangkan. Yang pasti, ia adalah satu pengorbanan besar PAS bagi mengembalikan kekuatan ummah.

Kini, PAS melangkah lagi ke hadapan. BERSATU yang tersepit oleh perpecahan dengan Team Tun Mahathir yang menubuhkan PEJUANG, perlu diajak bersama di dalam MN supaya politik Melayu Islam dapat disatukan dan kekuatan dapat diperkukuhkan. Musuh-musuh orang Islam dan musuh politik MN melihat perkembangan ini secara negatif, kerana mereka suka orang Melayu Islam berpecah dan lebih senang memanipulasikannya. Tun Mahathir telah mengambil langkah mundur ke belakang dengan cara berpecah, tetapi PAS bergerak ke hadapan dengan menyatukan. Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang turut disertai oleh parti-parti bukan-Melayu telah menjadi regu PAS dalam membentuk perpaduan nasional yang lebih luas.

PAS bukan bermaksud untuk membiakkan semangat perkauman supaya dapat menindas kaum lain. Tetapi PAS mempunyai sasaran supaya penyatuan dan kekukuhan politik orang Melayu akan mewujudkan kestabilan politik negara, sehingga semua kaum dapat menikmati hasilnya. Kerana itu, kaum-kaum bukan-Melayu seperti Cina (melalui MCA), India (melalui MIC) dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak turut dijadikan sekutu di dalam PN dan BN. PAS bersikap mesra dengan parti-parti bukan-Melayu yang tidak mendukung sikap Cauvinis dan ekstrem perkauman, kerana PAS menyedari bahawa mereka juga adalah sebahagian daripada Malaysia.

- Advertisement -

Adakah kita berasa aneh dengan sikap politik PAS yang kelihatan ‘makan keliling?’ Sebenarnya PAS bukan makan keliling, tetapi PAS mendekati semua parti politik yang bersikap sederhana dan bersedia membentuk kerjasama dengan mereka supaya kepentingan nasional dapat dijaga. Ia adalah satu bentuk Politik Matang dan Sejahtera yang cuba dibudayakan oleh PAS, mengatasi budaya politik Cauvinis yang menimbulkan kegelisahan sosial masyarakat seperti yang diamalkan oleh PH.

Jika ditinjau dari sudut sejarah, PAS adalah sebuah parti yang sangat terbuka kerana Islam adalah rahmat untuk sekalian alam. PAS bersikap sederhana kerana Islam mengajar kesederhanaan. PAS sangat mementingkan perpaduan kerana Islam adalah agama perpaduan. PAS menekankan kepentingan nasional kerana Islam mengajar bahawa cintakan negara adalah sebahagian daripada iman. PAS sering menjadikan isu kemanusiaan sebagai sebab untuk bekerjasama kerana Islam menegaskan hakikat bahawa semua manusia adalah berasal dari Adam.

Mari kita lihat sejarah keterbukaan PAS dalam hubungannya dengan parti-parti politik di negara ini:

(I) PAS menyertai National Conference pada 1953 untuk menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. National Conference ditaja oleh tujuh orang Menteri Besar dan 16 orang kenamaan termasuk Dato’ Onn Jaafar. Badan ini disertai oleh parti-parti politik seperti MCA, MIC, Persatuan Ceylon dan lain-lain dengan diketuai oleh Dato’ Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab.

(II) PAS menyertai juga National Convention pada 1953-1954 untuk tujuan yang sama. Badan ini ditubuhkan oleh Umno-MCA dan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman.

(III) PAS menyertai Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 1957 untuk menuntut supaya kepentingan Islam dan ketuanan Melayu dipertegaskan dalam pembentukan negara merdeka. Dr Burhanuddin al-Helmy memimpin kongres ini yang turut disertai oleh Parti Rakyat, Parti Negara dan bekas-bekas pemimpin politik kiri, selain beberapa puluh buah pertubuhan Melayu.

(IV) PAS mengadakan persefahaman politik dengan Parti Negara untuk membolehkan Dato’ Onn Jaafar dibawa ke Parlimen melalui Pilihan Raya Umum 1959 setelah beliau ditolak di Johor pada 1955. Kesan kerjasama ini telah membawa kepada usaha menubuhkan Kerajaan Campuran PAS-Parti Negara di Terengganu pada 1961, tetapi usaha ini tidak berjaya.

(V) PAS menyertai Jawatankuasa Perpaduan dan Jawatankuasa Muhibbah yang ditubuhkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 1969-1970 kerana mahu mewujudkan kestabilan politik negara, termasuk memulihkan semula keadaan politik tragedi 13 Mei 1969.

(VII) PAS membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973-1974 dalam rangka mengukuhkan perpaduan nasional melalui penyatuan politik orang Melayu.

(VIII) PAS bersama lapan parti lain iaitu Umno, MCA, MIC, SUPP, Perikatan Sabah, Perikatan Sarawak, Gerakan dan PPP telah menubuhkan BN pada 1 Jun 1974. Gabungan BN telah berjaya memulihkan sepenuhnya politik kestabilan Malaysia.

(IX) PAS telah menubuhkan sebuah badan, Majlis Perunding Cina (CCC) pada akhir 1985 untuk membolehkan PAS bekerjasama dengan orang Cina dalam pergerakan politiknya. 

(X) PAS telah menubuhkan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1986. HAK turut disertai oleh SDP, NasMa dan PSRM. DAP turut dijemput oleh PAS untuk menyertai gabungan pembangkang ini, tetapi DAP menarik diri.

(XI) PAS mengadakan persefahaman politik dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1988-1996. APU ditubuhkan oleh BERJASA dan turut disertai oleh HAMIM, PMS46 dan sebuah parti India Muslim, KIMMA.

(XII) PAS telah mempelopori penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang dipimpin oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor. Selain NGOs dan individu ternama, GERAK turut disertai oleh DAP dan PRM dengan tujuan untuk menentang kezaliman ke atas rakyat dalam tragedi politik Anwar Ibrahim pada 1998.

(XIII) PAS bersama DAP, PKN dan PRM telah menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999 sebagai barisan pembangkang menghadapi BN. Pada 2001, DAP menarik diri dan pada 2004 pula, PKN dan PRM telah bercantum membentuk PKR. Sehingga 2008, BA hanya dianggotai oleh PAS dan PKR sahaja.

(XIV) PAS menyertai kerjasama parti-parti pembangkang untuk membentuk kerajaan negeri di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Pakatan politik ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) dan dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR. Ia wujud antara 2008-2015.

(XV) PAS menubuhkan sebuah kerjasama politik parti-parti Melayu Islam yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera (GS) pada 2015. Ia turut disertai oleh IKATAN dan BERJASA dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 2018.

(XVI) PAS telah mengadakan satu pakatan politik yang baru bersama Umno pada 2019 setelah parti Melayu itu tewas dalam Pilihan Raya Umum 2018. Pakatan ini dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN) yang bertujuan untuk membentuk penyatuan bagi mengukuhkan semula politik Melayu.

(XVI) PAS menyertai satu kerjasama parti-parti politik bagi menubuhkan kerajaan setelah PH tumbang. Pakatan politik yang disertai oleh Umno, BERSATU, MCA, MIC dan GPS ini dikenali sebagai PN dan mereka berjaya mengemudi sebuah kerajaan baru pada 2020.

Daripada senarai panjang kerjasama politik PAS lebih 60 tahun dahulu, menunjukkan bahawa PAS adalah parti yang sangat terbuka dan sentiasa cenderung untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang mempunyai objektif yang sama dengannya. Tindakan PAS pada hari ini untuk membentuk kerjasama dengan Umno dan BERSATU bukanlah suatu perkara yang aneh, bahkan merupakan satu ciri khas bagi PAS – mendukung politik perpaduan!

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -