Memposisi agenda Islam dalam kemenangan

- Advertisement -

WANGSA MAJU: Kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk ketika ini berada dalam posisi politik tidak menentu dengan kedudukan tipis di Parlimen, namun kerajaan mahu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, PAS khususnya sentiasa mahu berbakti dalam segenap ruang yang ada tanpa bersikap gopoh mahupun tamak kerana menyedari hakikat perjuangan ini.

“Kemenangan yang sebenar adalah apabila amalan dan gerak kerja ini diterima oleh Allah sebagai amal soleh,” ujarnya pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan Kali Ke-37 di Diamond Square, di sini semalam.

Menurut beliau, menang kerusi dalam pilihan raya hanyalah satu anak tangga menuju kemenangan di sisi Allah, lantaran itulah PAS tidak takut jika diberi amanah sebagai sebahagian kerajaan dan tidak gusar tidak diizinkan menjadi kerajaan.

“Pangkat, kedudukan, gelaran, harta, kerusi dan jawatan hanyalah sekadar pinjaman sebagai ujian untuk terus bersyukur atau kufur dalam kenikmatan-Nya. Kita bersyukur apabila kita menggunakan jawatan dan kemenangan untuk mengangkat agama, membela rakyat dan menjulang maruah negara,” ujarnya.

Sebaliknya tegas beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Malaysia, sesiapa yang menggunakan kuasa untuk kepentingan diri dan kelompok, pasti akan menderita dan dijatuhkan Allah di dunia mahupun di akhirat kelak.

Pentingnya perpaduan

Dalam ucaptama bertema ‘Mengisi Kemenangan Mengukuh Perpaduan’ itu, beliau menegaskan betapa perpaduan merupakan asas penting bagi sesebuah kerajaan yang di dalam negara mempunyai masyarakat berbilang kaum.

Katanya, kekuatan ummah terbina melalui perpaduan dan kasih sayang di mana ia perlu bermula sesama ahli PAS dan kemudian diikuti dalam kerjasama politik melalui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Seru beliau, kekuatan perpaduan ummah di Malaysia pula harus dibina dengan menyatukan seluruh kekuatan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik, aliran pemikiran dan pertubuhan.

“Jaringan kerjasama umat Islam melalui pelbagai platform dan agenda, sama ada daripada aspek ekonomi, pendidikan, kebajikan, sukarelawan, perjuangan maruah umat Islam dan sebagainya perlu digiatkan dan diperkukuhkan.

“Kekuatan perpaduan umat Islam merupakan pendorong utama kepada perpaduan nasional. Hubungan erat pelbagai kaum di Malaysia termasuk Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh Bajau dan lain-lain adalah satu simbol kejayaan negara dan menjadi penanda aras keharmonian dan kepelbagaian yang dihasratkan oleh seluruh dunia,”katanya.

Katanya, seringkali nilai utama (substantial value) kasih sayang dalam pembinaan perpaduan diketepikan kepentingannya kerana terlalu fokus kepada ‘outcome‘ perpaduan yang diinginkan.

Sedangkan tegasnya, nilai kasih sayang ini perlu diterapkan di dalam masyarakat kerana perpaduan yang hanya bersifat fizikal atau dilaungkan melalui lagu dan slogan tidak akan bertahan lama.

Oleh itu ujar beliau lagi, perpaduan perlu digerakkan melalui kesedaran dan kasih sayang serta mengenepikan segala unsur kebencian perbezaan agama atau kaum, garis politik kepartian atau sempadan kenegerian.

“Perlu dikikis melalui sikap hormat, mesra dan perasaan kasih sayang, kerana inilah kunci kepada perpaduan negara,” tegas beliau.

Mengisi kemenangan

Ustazah Nuridah pada ucapan itu mengajak seluruh ahli PAS untuk bersama memikul agenda Kerajaan Perikatan Nasional sebagai tanggungjawab mengisi kemenangan dan menyedari bahawa rakyat sedang memerhatikan kemampuan PAS dalam mentadbir negara ini.

“Adakah PAS benar-benar parti yang berintegriti dan bersih? Adakah PAS mampu menguruskan ekonomi negara? Adakah PAS mampu menerajui kepimpinan negara? Ini adalah persoalan yang perlu dijawab melalui tindakan dan prestasi,” tegasnya.

Jelas beliau lagi, antara persediaan yang perlu diberikan tumpuan oleh ahli PAS adalah kepada tiga perkara iaitu persediaan kualiti pimpinan, persediaan pemikiran dan budaya, serta persediaan iman dan akhlak.

Antara persediaan kualiti pimpinan dicadangkannya meliputi segala usaha tersusun bagi melahirkan barisan kepimpinan yang mampu untuk mengisi ruang-ruang pentadbiran sebagai anggota  kabinet kerajaan.

Juga kemukanya, keperluan pasukan yang mantap bagi menggerakkan agensi utama kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan  kerajaan dan sebagainya disamping persediaan pemikiran dan budaya.

“Tanggungjawab dalam kepimpinan negara serta negeri memerlukan orientasi baru dari sudut sikap, kaedah bertindak, interaksi dengan masyarakat, dan cara menangani sesuatu isu. Perlu juga wujud perbezaan sikap, pemikiran, dan budaya sebagai pembangkang dan sebagai kerajaan agar ahli dan kepimpinan PAS dapat menyesuaikan diri dengan tanggungjawab yang digalas.

“Gerak kerja jemaah juga perlu diolah agar menepati kehendak perkembangan semasa dari sudut budaya kerja, teknologi, kecenderungan generasi baru dan sosio-ekonomi masyarakat. Kekuatan iman dan akhlak adalah teras kepada kekuatan pejuang Islam.

“Aktiviti tarbiyah perlu terus diperkukuhkan dan bukan sahaja dilaksanakan melalui jentera parti  bahkan juga diserap melalui slot-slot pengisian dalam aktiviti kerajaan dan GLC sebagai sebahagian proses pengukuhan integriti dalam kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -