Ibrah Pembukaan Constatinople suntik JPrN PP

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Jentera Pilihan Raya PAS Negeri (JPrN) Pulau Pinang telah memberi isyarat kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU15 sebagaimana dizahirkan pada Lawatan Kerja Timbalan Pengarah (Strategi) Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

- Advertisement -

Beliau telah membuat lawatan ke Bilik Operasi Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan-kawasan seluruh negeri ini dan seterusnya memangkin pecutan gerak kerja jentera, selain turut merasmikan pembukaan beberapa bilik operasi sepanjang dua hari kehadirannya.

Antara mesej penting dipertegaskan Dr Zuhdi dalam ucapannya bertemu anggota jentera adalah ingatan terhadap matlamat besar perjuangan PAS sebagaimana ditunjukkan Rasulullah S.A.W yang memberi gambaran pembukaan Kota Constatinople kepada Sahabat R.A.

Jelas beliau, di sebalik kemenangan berkongsi kuasa dalam Kerajaan Perikatan Nasional ketika ini, matlamat PAS belum terhenti tetapi masih jauh perjalanannya untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi Allah, khususnya di tanah air sendiri ini.

Selain menerima taklimat dari jentera di setiap Parlimen, Dr Zuhdi turut memberi penerangan mengenai situasi politik semasa dan menyuntik jentera  untuk bersedia bukan sahaja menghadapi PRU15, tetapi juga politik negeri membetulkan kerosakan oleh DAP-PH.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff pula memberi penegasan agar seluruh tenaga jentera yang ada mesti melaksanakan tuntutan jihad ke arah meninggikan Islam dan menunjukkan keberadaan PAS dalam masyarakat menerusi gerak kerja.

Turut merangsang motivasi jentera adalah suntikan khas dari Pengarah Pilihan Raya PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali, selain kehadiran sama pimpinan lain antaranya Timbalan Pesuruhjaya, Norazman Ishak dan Ketua Ulamak, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar. – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -