Hilangkan deposit calon Bebas, mesej buat PH

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Kisah kaum Auz dan Khazraj yang bermusuhan antara satu sama lain selama ratusan tahun, tetapi kembali damai selepas peristiwa Hijrah Rasul merupakan iktibar yang bertepatan untuk Muafakat Nasional antara PAS dan Umno kini.

- Advertisement -

Perkara itu dikupas Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria di dalam ceramah Muafakat Nasional pada PRK DUN N.58 Slim yang menampilkan Presiden PAS dan Umno di dewan Tsn Sri Ghazali Jawi, Slim River, di sini semalam.

Jelas Razman, setelah sekian lama bermusuhan, pendamaian antara kaum Auz dan Khazraj nyata telah menimbulkan kegusaran kepada kaum Yahudi yang mengakibatkan mereka sentiasa berusaha meracuni dan merosakan pendamaian itu.

“Apabila bibit-bibit permusuhan mula bangkit, maka Allah turunkan firman-Nya (ayat 103 surah Ali Imran) sebagai peringatan. Dan ayat ini relevan kepada kita (semua). Untuk penyatuan ummah ini, kita tidak boleh lari dari petunjuk Nabi S.A.W.

“Inilah sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh umat Malaysia. Dengan penyatuan itu, Islam bukan sahaja menguasai Semenanjung Arab. Tapi berkembang ke Afrika, India, Eropah Timur dan sehingga harini, apabila bibit perpecahan muncul, negara Islam telah dipisah dan diratah,” ujar Razman.

Oleh hal sedemikian serunya, melalui peristiwa penyatuan dua kaum Auz dan Khazraj, maka umat Islam hendaklah merubah landskap politik negara dengan menyatukan seluruh umat Islam bagi membentuk kesepakatan yang mampan.

Dalam pada itu, Razman selaku pimpinan tertinggi PAS Perak menjelaskan pihaknya akan komited dalam mengerahkan seluruh jentera PAS turut sama bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN) memenangi PRK ini dengan jayanya.

“Dengan seluruh kekuatan jentera yang ada, Insya-Allah dari hari penamaan calon hinggalah hari mengundi, PAS akan bekerja sungguh-sungguh. Kita pastikan semua 4,103 pengundi PAS memangkah calon Muafakat Nasional ini.

“Kita juga mengharapkan (undi) daripada semua yang ada. Daripada parti BERSATU dan BN keseluruhannya. Kalau dicampurkan keseluruhannya, InsyaAllah kita akan (boleh) hilangkan deposit calon lawan,” ujar Razman.

Menghilangkan deposit calon Bebas itu diserunya sebagai salah satu cara menghantar mesej kepada pembangkang yakni gabungan Pakatan Harapan bahawa mereka ditolak oleh rakyat.

DAP pada PRK ini telah membantu calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkempen antaranya Naib Presiden DAP, M Kula Segaran dan Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan.

Malah sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berucap pada Majlis Memperkenalkan Calon N.58 Slim dan memberikan jaminan bahawa parti itu akan membantu calon Bebas yang mewakili PEJUANG ini. – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -