Bimbang kes rasuah, salah guna kuasa meningkat

Kenyataan akhbar DYMM Sultan Selangor

- Advertisement -

D.Y.M.M Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap peningkatan kes-kes gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di Negeri Selangor.

Tindakan segelintir mereka yang terlibat di dalam jenayah yang tidak bermoral ini telah mencemarkan reputasi dan imej pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang terlibat.

Laporan media yang meluas mengenai kesalahan jenayah rasuah yang dilakukan ini menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan. 

- Advertisement -

Seandainya gejala rasuah ini terus berlaku dengan berleluasa ianya akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan-jabatan penguatkuasa ini di dalam melaksanakan tindakan undang-undang di negara ini.

Justeru itu, Baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguatkuasa di semua Majlis-majlis Kerajaan Tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua Jabatan Kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak sama sekali melibatkan diri mahupun mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah dan perkara-perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak. Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan. Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama sekali dari dilakukan.

Baginda juga menegaskan bahawa agama Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa. Gejala rasuah merupakan perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

Baginda juga menyeru agar semua pegawai dan kakitangan penguatkuasa ini menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah dengan mematuhi segala SOP dan peraturan yang ditetapkan. Mereka perlulah bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan. 

Sikap berhemah di dalam mengambil sesuatu tindakan perlulah sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman dan keamanan awam.

Laksanakanlah tanggungjawab anda semua dengan penuh amanah demi rakyat dan negara.

“Pertahan Dan Setia Kepada Agama Islam”
“Berkhidmat Untuk Rakyat Dan Negara”

ISTANA ALAM SHAH
24 Ogos 2020 – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -