Akademi Bina Insan PASAK siap generasi muda

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Generasi muda pada zaman ini yang menjadi cerminan masa depan negara bermakna penerapan pembangunan modal insan perlu dipupuk lebih awal sebagai persediaan golongan itu menghadapi cabaran akan datang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata kerajaan negeri berhasrat membawa agenda pembangunan anak muda ke peringkat lebih tinggi.

Atas dasar itu katanya, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di bawah seliaan portfolio beliau menubuhkan Akademi Bina Insan yang menjadi penyelaras bagi aktiviti pembangunan modal insan anjuran oleh kerajaan negeri.

“Pelbagai kelompok dan latar belakang anak muda akan dilibatkan dalam sebarang aktiviti di bawah akademi ini tanpa mengira sempadan politik, fahaman agama, bangsa dan warna kulit.

“Akademi ini akan menjadi salah satu pemangkin kepada era kebangkitan dan kemajuan anak muda di negeri Perak dengan melatih anak muda untuk menjadi tonggak utama pembangunan sosioekonomi di negeri kita,” jelas beliau.

Menurutnya, hampir separuh daripada rakyat negeri Perak terdiri daripada anak muda yang menjadi tonggak kekuatan negeri.

Dalam pada itu, Pengerusi PASAK, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, sebagai badan pelaksana, pihaknya akan menjadikan pejabat operasinya sebagai hab latihan sehenti bagi tujuan itu.

“Pejabat Operasi PASAK akan dimanfaatkan oleh pelbagai pertubuhan untuk menjalankan program latihan, kursus motivasi, kem kepimpinan dan banyak lagi bagi memberi manfaat kepada masyarakat khususnya anak muda negeri Perak,” ujarnya.

Tegasnya, PASAK turut berhasrat untuk berinteraksi dengan lebih ramai rakyat di luar sana agar pelbagai manfaat, inisiatif dan insentif daripada kerajaan negeri dengan lebih efektif dan efisien.

Akademi Bina Insan PASAK adalah pertama yang ditubuhkan kerajaan negeri di bawah seliaan portfolio di bawah Razman bagi menyelaraskan program dan pembangunan modal insan oleh Kerajaan Negeri Perak.

Antara program yang akan dijalankan termasuk pengurusan srategik kepada pemimpin masyarakat, kursus pembinaan pelapis pemimpin anak muda, kursus latihan kesukarelawanan dan khidmat bakti komuniti. – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -