Tubuh JK teknikal percepat projek KXP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebuah jawatankuasa teknikal ditubuh bagi memperincikan proses supaya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dapat dipercepatkan, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Beliau berkata jawatankuasa itu yang dianggotai pihak kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Kementerian Pengangkutan ditubuhkan dalam pertemuan bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya, Jumaat lepas.

“Jawatankuasa teknikal ini akan membuat syor supaya kertas kerja (berkaitan kelulusan pelaksanaan projek KXP) ini diangkat sekali lagi ke MPFN (Majlis Perancang Fizikal Negara).

“Selepas dapat nasihat MPFN, baru kita akan masuk, MOT (Kementerian Pengangkutan) akan buat kertas kerja untuk bentangkan di Kabinet, Kabinet lulus baru boleh mulakan projek KXP ini,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Terdahulu beliau, menerima sumbangan barangan keperluan makanan bernilai RM30,000 daripada Yayasan Petronas untuk manfaat 300 keluarga B40 yang terjejas dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran di Kedah.
 
Muhammad Sanusi berkata setiap kertas kerja perlu mendapat nasihat dan kelulusan MPFN sebelum dibawa ke Kabinet, namun pada mesyuarat MPFN yang lepas, kertas kerja itu tidak dapat dibentangkan kerana Kementerian Pengangkutan belum memuktamadkan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP). 

Sementara itu, katanya dalam pertemuan bersama Menteri Pengangkutan itu, kerajaan negeri menjelaskan secara terperinci perancangan yang telah dibuat oleh KXP Airport City Holdings, selain membentangkan kajian dibuat 12 perunding termasuk kajian antarabangsa.

“Saya nyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan projek itu teratas dalam senarai-senarai projek berimpak tinggi untuk melonjak pendapatan kerajaan negeri,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -