KUALA LUMPUR: Kedah mengambil langkah yang proaktif untuk merangsang ekonomi negeri melalui pelbagai inisiatif bagi mencapai pembangunan dan kemakmuran sosioekonomi khususnya dalam menghadapi landskap pasca COVID-19.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri Kedah sedang bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
“NCIA bersama dengan kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk merangsang ekonomi wilayah ini melalui pelan pembangunan strategik NCER 2021-2025 dan rangka Kerja Strategik pasca COVID-19 yang memperinci pelaksanaan pembangunan strategik, dorongan pelaburan dan program memperkasa rakyat dalam menghadapi ekonomi pasca COVID-19.
“Pendekatan ini dirangka khas selaras dengan strategi negeri secara holistik dan inklusif supaya tiada masyarakat tersisih dari arus pembangunan. Fokus utama kita di waktu ini adalah menangani cabaran yang dihadapi oleh tenaga kerja, sektor perniagaan, dan golongan yang paling terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
“Visi ekonomi Kedah pada asalnya dijangka mencapai KDNK berjumlah RM62 bilion menjelang 2025. Sasaran ini telah dianjak untuk dicapai pada tahun 2027 dengan mempergiatkan projek-projek pemangkin, menarik pelaburan swasta dan pelaksanaan program modal insan,” ujarnya.
Maklumnya, sejak tahun 2009 sehingga kini, sebanyak RM30 bilion pelaburan diluluskan dan RM29.2 bilion telahpun direalisasikan dengan 37,704 kewujudan pekerjaan yang mana 36,371 telah direalisasikan di negeri Kedah.
Menurutnya, Kedah mendapat penyaluran pelaburan berjumlah RM3.06 bilion yang lantas mewujudkan lebih 1,400 peluang pekerjaan di negeri Kedah, selain projek strategik dan program modal insan NCIA di mana lebih 35,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan.
“Manakala hampir 9,000 orang disasar menerima peluang keusahawanan. Syabas kepada NCIA yang telah pantas mewujudkan dua program, iaitu ‘Jom Kerja’ dan ‘Jom Niaga’ di bawah program modal insan NCIA selaras dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
“Inisiatif ini sudah pasti akan menyokong dalam usaha memperkasa rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang kembali ekonomi negara. Insya-Allah, melalui Jom Kerja, seramai 1,225 peserta akan dapat peluang pekerjaan. Jom Niaga pula akan membolehkan seramai 1,600 orang mendapat latihan dan menjadi usahawan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/8/2020