MUAFAKAT Nasional (MN) adalah jenama baru dalam arena politik negara. Ia muncul di saat orang Melayu rasa tertekan dengan pelbagai isu yang muncul akibat dari Pakatan Harapan (PH) mengambil alih teraju pemerintahan negara. Isu ICERD telah menjadi pemangkin kepada penyatuan orang Melayu khasnya di Malaysia, dan diikuti oleh Pilihan Raya Kecil yang membibitkan kerjasama antara dua parti utama orang melayu Islam PAS dan Umno, kini ia semakin kukuh dengan penyertaan BERSATU sebagai sebahagian dari komponen MN.
Ramai mendoakan agar MN ini kekal sebagai suatu muafakat politik yang berpanjangan, walaupun hakikatnya bukanlah sesuatu yang mudah bagi parti-parti politik kekal dalam satu gabungan dalam tempoh yang lama.
Tiga asas utama bagi menjamin MN akan terus kekal ialah:
(1) Keikhlasan.
Penyatuan orang Melayu Islam menjadi keutamaan agar kedudukannya sebagai kaum dan agama teras negara dapat dipelihara.
(2) Saling memerlukan.
Semua parti mesti dihormati dan dijaga kedudukannya dalam gabungan. Bila mana satu parti merasa ia tidak lagi memerlukan rakan politik dalam membuat sesuatu keputusan, maka ia petanda awal berakhirnya muafakat.
(3) Toleransi.
Parti punyai pengikut yang pelbagai jenis, namun kepatuhan kepada keputusan pimpinan adalah asas utama. Dalam kerangka kerjasama, semua pihak perlukan toleransi yang sangat tinggi. Perlu buang ego, ketepikan sikap bossy, sombong dan takabur.
MN perlu buktikan melalui tindakan. Keputusan mesti melalui perundangan bersama, ada kalanya kita perlu korbankan kehendak pengikut di bawah, kerana kepentingan yang lebih besar dan lebih penting yang hanya difahami oleh pimpinan. Tidak semua perkara perlu dikongsi dengan semua pengikut dan orang ramai.
Jangan terpengaruh dengan mereka yang cakap kuat, kerana itu bukan bermakna ia betul, cakap perlahan bukan makna lemah. Banyak cakap belum tentu mampu membuat kerja. Terkadang banyak idea belum tentu sesuai untuk dilaksana. Belajarlah memahami sesuatu di sebalik sesuatu yang dilihat kerana hakikatnya Allah-lah yang menyatukan hati-hati manusia.
DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
23 Ogos 2020 – HARAKAHDAILY 23/8/2020