TUMPAT: PAS optimis keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Perikatan Nasional.
Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, keyakinan berkenaan memandangkan situasi semasa yang menunjukkan sokongan rakyat yang begitu kuat terhadap kerajaan Perikatan Nasional.
Katanya, sokongan padu itu menunjukkan suara rakyat yang jelas menolak pentadbiran Pakatan Harapan (PH), yang dianggap telah gagal mentadbir.
“Kempen sedang berlangsung selain saya juga baru sahaja pulang dari kawasan kempen. Malah saya turut membantu calon BN untuk berkempen bukanlah semata untuk menang, namun untuk menghilangkan deposit pihak lawan.
“Memandangkan sudah ‘gerenti’ dapat menang, sebab sokongan rakyat yang kuat. Kita juga yakin, rakyat Slim akan mewakili suara rakyat Malaysia, yang menunjukkan sokongan kepada kerajaan PN dan menolak PH yang sudah gagal mentadbir negara selama 22 bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyerahan Bantuan Program Pertanian Bandar di bawah (PENJANA) Parlimen Tumpat di perkarangan Masjid An-Nur, Tumpat di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengarah Pertanian Kelantan Norbahani Zakaria.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan Muafakat-Bersatu khususnya di Kelantan, Che Abdullah berkata, semua pihak perlu bertolak ansur sekiranya timbul permasalahan.
“Saya yakin bahawa semua pemimpin terutama parti PAS mampu mengendalikan sebarang pertelingkahan atau permasalahan (kalau ada), yang wujud dengan baik.
“Kita kena faham bila bergabung dan bersama, suami isteri pun ada masalah namun saya yakin setiap pemimpin yang ada mampu bertindak rasional dan realistik dalam menyelesaikan segala permasalahan yang wujud,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, kerusi DUN Slim kosong selepas penyandang selama empat penggal daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai.
SPR menetapkan Selasa depan sebagai hari pengundian awal membabitkan 277 pengundi terdiri daripada polis dan pasangan, manakala 22,815 lagi pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab pada 29 Ogos. – BERNAMA