HUMS bakal tingkat jumlah doktor di Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS), sebuah projek berimpak tinggi yang mula dibina pada Disember 2017, dijangka siap pada 31 Mac 2022, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata hospital pintar mempunyai 400 katil itu dirancang untuk memberi  perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya di Sabah.

“Dengan adanya hospital ini nanti, jumlah doktor perubatan di Sabah akan dapat ditingkatkan dari tahun ke tahun sehingga mencapai nisbah doktor per penduduk bagi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi beliau, semalam.

- Advertisement -

Terdahulu, Noraini mengadakan lawatan ke tapak projek HUMS, di sini, bagi meninjau perkembangan pembangunan hospital tersebut dengan lebih terperinci. 

Beliau berkata projek HUMS itu akan memberi kesan ‘fiskal berganda ’ dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan baharu kepada rakyat di negeri ini.

Noraini berkata sekurang-kurangnya 1,600 pekerjaan bagi penjawat awam dan 300 pekerjaan lagi bagi kakitangan swasta bakal diwujudkan menerusi projek berkenaan.

Selain itu projek HUMS  juga akan merangsang perkembangan industri tempatan seperti pembersihan, pembekalan makanan, penyelenggaraan bangunan, peruncitan dan kewangan, katanya. – BERNAMA

- Advertisement -