‘Colop’ dulu berpolitik, tumpu pentadbiran

- Advertisement -

KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof menempelak sesetengah pihak yang mengambil kesempatan bermain politik tatkala negara sedang dalam proses Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana pandemik COVID-19.

Beliau berkata ini adalah masa untuk kerajaan mentadbir dan menguruskan negeri serta negara dengan memberikan keutamaan kepada krisis seperti ekonomi, kehidupan dan kesihatan.

“Siapa yang mahu berpolitik, ‘colop dulu’ (berhenti dulu). Sekarang masa kita bekerja, masa kita memikirkan bagaimana hendak tangani krisis yang sedang dihadapi. 

- Advertisement -

“Kita kena bersatu dalam segala tindakan supaya yang berat itu menjadi lebih ringan. Sama-sama kita berdepan dengan cabaran ini bagi memastikan Sarawak dan Malaysia lebih harmoni dan sejahtera serta mencipta kembali kemakmuran yang telah kita kecapi,” katanya ketika berucap pada program Merdeka@Komuniti 2020 di Petra Jaya sempena sambutan Bulan Kebangsaan di sini semalam.

Kenyataan Fadillah itu dipercayai merujuk kepada insiden di Kuching baru-baru ini berkenaan tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak yang menampal pelekat berbahasa Cina di beberapa papan tanda jalan di bandar raya berkenaan, dengan alasan perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Cina untuk keperluan pelancong dari China.
 
Tindakan diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin Julian Tan yang tular di media sosial itu mengundang pelbagai komen netizen yang tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut.

Sementara itu, mengenai program Merdeka@Komuniti 2020, seramai 100 orang penduduk di Lorong Piala 3, Taman Sukma memeriahkan majlis anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) daerah Kuching.

Program berkenaan adalah inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui JAPEN bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta cintakan negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan. – BERNAMA 

- Advertisement -