Tembak mati tupai, selamatkan raja buah

- Advertisement -

SETIU: Sekitar 100 ekor tupai ditembak mati dalam operasi  Program Mengurangkan Musuh Tanaman di sekitar kebun durian Kampung Kuala Kubang, Jabi, di sini semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia merupakan program komuniti bagi mengurangkan makhluk perosak ini yang memusnahkan kualiti ‘raja buah’.

“Di sini adalah antara kawasan kebun durian tersohor di Jabi. Durian Kuala Kubang ada jenama dan kualiti tersendiri. Sayangnya banyak yang ditebuk tupai.

“Saya sedar pencinta haiwan tidak akan bersetuju dengan langkah ini. Peminat lagu ‘Anak Tupai’ Halim Yazid pun akan marah. Tapi operasi ini dah jadi satu keperluan disebabkan banyaknya buah yang rosak angkara tupai.

“Apabila berlaku konflik, akan ada pihak yang terpaksa menjadi mangsa. Kita memahami sesama makhluk Allah, tetapi manusia menjadi keutamaan kita,” jelas beliau.

Katanya, program sebegini akan dibuat secara berterusan kerana ia merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh orang kampung.

Sementara itu, Jabatan Pertanian juga menekankan sistem pengairan serta pembajaan yang teratur di kebun-kebun durian untuk menghasilkan buah yang berkualiti.

“Terima kasih Jabatan Pertanian, Rela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perhilitan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang turut serta dalam ini.

“Persetujuan telah dibuat bersama PERHILITAN. Insya-Allah, program selepas ini mensasarkan khinzir dan kera.

“Mudah-mudahan langkah yang diambil di samping banyak lagi program di bawah Jabatan Pertanian, kita boleh tingkatkan lagi hasil untuk orang kampung kita khususnya dalam musim buah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/8/2020

- Advertisement -