Peranan muslimat muda disandarkan harapan

- Advertisement -

BAYAN LEPAS: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang Kali Ke-31 yang melangsungkan tema ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’ telah sempurna diadakan penuh semangat di Hotel Raia, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Peranan generasi muda Muslimat antara yang mendapat fokus dan perhatian pimpinan dan para perwakilan pada muhasabah tahunan ke arah memacu sayap gerakan parti Islam ini untuk terus berdaya di persada politik negeri dan tanah air.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad dalam ucapan perasmiannya menyuntik semangat dengan menyerlahkan kedudukan PAS yang telah menjadi antara pemain penting dalam politik tanah air.

Menurutnya, penglibatan aktif PAS dalam kesatuan antara parti-parti Kerajaan Perikatan Nasional yang dibina dengan keserasian dan saling memahami, serta meletakkan teras sama dan dihormati iaitu Melayu-Islam, telah menghadirkan kestabilan kepada politik.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff bahkan terdahulu pada ucapannya menjulang peringatan betapa tenaga kepakaran dalam kalangan Muslimat perlu diposisikan di medan masyarakat semaksimum ruang yang ada.

Manakala Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idrus lebih awal menetapkan Muslimat agar pada peranan selaku jentera dan menunaikan tanggungjawab, sentiasa ke hadapan untuk meraih kebangkitan Islam dan janji Allah.

Dalam perbahasan, perwakilan cenderung menyentuh mengenai gerakan Muslimat muda terutama melibatkan entiti Ameerah, Nusaibah dan Briged Muslimat yang diharap lebih berkemahiran, berani dan sanggup memikul taklifan sebagai pelapis.

Bahkan turut berlanjutan dalam ucapan penangguhan apabila mengaitkan peranan tersebut dengan persiapan diri dengan tarbiyah berteras fardu ain dan fardu kifayah bagi memenuhi tuntutan ciri muslimat berilmu, berharaki dan sufi.

Acara tahunan ini turut mengurniakan pengiktirafan menerusi Anugerah Asma’ Abu Bakar kepada Faridah Nordin dari Permatang Pauh dan Anugerah Ummu Waraqah kepada Solehah Yusof dari Tasek Gelugor. – HARAKAHDAILY 22/8/2020

- Advertisement -