Pendekatan baharu Kampung Baru dirangka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan sedang merangka pendekatan baharu bagi pembangunan Kampung Baru untuk tempoh 20 tahun akan datang menerusi Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040. 

Perbadanan Kampong Bharu (PKB) dalam kenyataan semalam memaklumkan, hala tuju itu dibuat selepas mendapati Pelan Konsep Pembangunan Kampong Bharu 2019 serta tawaran pembelian tanah sebanyak RM1,000 sekaki persegi amat sukar diteruskan kerana tidak mendapat persetujuan 100 peratus pemilik tanah. 

- Advertisement -

Menurut kenyataan itu, tawaran berkenaan hanya mendapat 61 peratus persetujuan daripada pemilik dan pewaris selain ia melibatkan kos anggaran pembelian tanah yang sangat tinggi iaitu sebanyak RM7.4 bilion dan kos lain sehingga mencecah hampir RM10 bilion.

“Hala tuju baharu pembangunan Kampung Baru ini adalah lebih realistik dan boleh laksana melalui pendekatan pembangunan yang lebih fokus, mengikut kawasan keutamaan dan mengambil kira kompleksiti sesuatu kawasan bagi memenuhi keperluan pembangunan di Kampung Baru,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu menyebut antara pelaksanaan yang akan dijalankan dengan kadar segera ialah menaik taraf infrastruktur jalan utama di kawasan itu termasuk Jalan Raja Uda, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Mahmud, cadangan pintasan Jalan Raja Alang ke Jalan Raja Uda dan penjajaran semula Jalan Datuk Abdul Malik.
 
Menurut kenyataan itu, cadangan lain termasuk pembinaan susur keluar-masuk Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) ke Jalan Hassan Salleh dan Jalan Sungai Baru serta pembinaan Lebuhraya DUKE Fasa 2A memasuki Kampung Baru. 

Pihaknya akan melaksanakan pembangunan secara berfasa mengikut keutamaan blok pembangunan yang dikenal pasti dengan mengambil kira lot tanah yang mendapat persetujuan pemilik tanah.

“Pembangunan sama ada melibatkan penglibatan secara langsung oleh kerajaan melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau secara usahasama oleh pemilik tanah dengan pemaju swasta atau dimajukan sendiri oleh pemilik tanah secara organik dengan insentif-insentif tertentu,” katanya. 

Kenyataan itu juga menjelaskan, selain berperanan sebagai fasilitator bagi melancarkan pelaksanaan pembangunan, fungsi PKB akan dipertingkatkan pada masa hadapan supaya boleh berperanan sebagai pemaju projek pembangunan hartanah di Kampung Baru.

“Dalam menjayakan pembangunan semula Kampung Baru, suara dan harapan pemilik dan pewaris tanah supaya Kampung Baru dapat dibangunkan sebagai pusat komersial dan petempatan Melayu di pusat bandar raya Kuala Lumpur akan tetap diberi perhatian oleh pihak kerajaan dengan segala pandangan dan cadangan oleh pemilik dan pewaris tanah akan diambil kira,” tambahnya.

Pada 21 September lepas, Kerajaan Pakatan Harapan menawarkan untuk membeli tanah kawasan itu dengan harga RM1,000 sekaki persegi dalam bentuk RM850 secara tunai dan RM150 dalam bentuk saham syarikat bertujuan khas (SPV) kepada pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu bagi tujuan pembangunan. 

Ia adalah kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja. – BERNAMA 

- Advertisement -