Pemuda PAS DUN Sg Tua lancar Jentera PRU15

GOMBAK: Pemuda PAS DUN Sungai Tua melalui UKJ Sungai Tua telah mengadakan pelancaran Jentera PRU15 yang telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli.

Advertisement

Aktiviti awal jentera ini adalah mengadakan konvoi kebajikan ke Maahad Tahfiz Dar Abrar di Bentong, Pahang yang pelepasannya melibatkan 20 motosikal, pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Bertemakan Maal Hijrah dan bulan kemerdekaan, konvoi ini menerima suntikan rohani tazkirah Dhuha disampaikan Ketua Pemuda PAS Kawasan Gombak, Ustaz Taufik Yusof di Masjid Ketari Bentong.

Selesai aktiviti iktikaf di masjid peserta konvoi dibawa menjamu selera Restoran Cinta Rasa Airena, Kampung Cegar Medang, Benus menikmati hidangan istimewa ikan Sungai Pahang termasuk patin dan pais patin tempoyak.

Hasil sumbangan dari ahli PAS dan orang ramai sebanyak RM2,500 berjaya dikumpul dan diserahkan dalam majlis penyerahan sumbangan kepada Mudir Maahad Tahfiz Dar Abrar, Ustaz Roslan Md Esa.

Beliau turut memberi pengisian ilmu selepas solat Zohor yang mengingatkan peserta agar sentiasa membetulkan niat dalam berjuang di mana hanya mesti mempunyai dua perkara yang sangat penting iaitu redha Allah dan Syurga Allah-Nya.

Konvoi diteruskan ke destinasi terakhir di RnR Gombak di mana peserta konvoi telah menyerahkan bendera Malaysia kepada hampir 100 kenderaan awam bagi menyemarakkan semangat cintakan negara sekaligus meraikan bulan kemerdekaan.

Peserta konvoi selamat tiba di tapak pelancaran jam 6 petang disertai sama Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Fadzli Abu Bakar yang juga EXCO Pemuda PAS Pusat dan Pengarah JPrD Sungai Tua, Damanhuri Dol. – HARAKAHDAILY 22/8/2020