PAS adalah rakan sefahaman yang baik

DI SEBALIK pelbagai tuduhan di sebaliknya, kajian saya ke atas PAS mendapati bahawa PAS dalam sejarah panjangnya sebagai sebuah parti politik adalah rakan sefahaman yang baik.

Advertisement

Satu contoh yang boleh ditunjukkan mengenai kebaikan PAS ini ialah bila ia bekerjasama dengan PMS46 di dalam PRU 1995 tatkala PMS46 sudah tidak lagi bekerjasama dengan DAP.

Selepas PRU 1990, yang menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen ialah Lim Kit Siang setelah DAP menguasai 20 kerusi berbanding lapan dan tujuh kerusi yang dimenangi oleh PMS46 dan PAS.

Di dalam PRU 1995 pula, kerusi DAP menurun menjadi hanya sembilan kerusi berbanding 13 kerusi yang dimenangi oleh pakatan PMS46 dan PAS (7 kerusi PMS46 dan 6 kerusi PAS).

Disebabkan Presiden PMS46, Tengku Razaleigh Hamzah, menolak untuk menjadi Ketua Pembangkang, PAS pun mencalonkan, pada 6 Jun 1995, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Begitupun, keputusan Majlis Tertinggi PMS46 untuk bersikap neutral ke atasnya dan tidak menyokong pencalonan PAS membolehkan Lim Kit Siang terus kekal di dalam jawatan itu.

Ekoran sikap tidak lunak PMS46 terhadap PAS ini, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 18 Jun 1995 pun terus membincangkan status hubungan PAS dengan PMS46.

Begitupun, mesyuarat ini kemudiannya bersetuju bahawa apa juga keputusan yang membawa kepada perpecahan di antara PAS dan PMS46 hendaklah tidak dimulakan oleh PAS.

Turut dipersetujui adalah satu perkiraan politik jangka panjang bahawa jika PMS46 tidak bekerjasama dengan PAS maka sudah tentu ia akan kembali semula kepada Umno.

Disebabkan itulah maka PAS terus bertahan dengan PMS46 sehinggalah ke saat PMS46 menyokong calon BN di dalam Pilihan Raya Kecil N.8 Bukit Asahan pada 22 Jun 1996.

Begitu juga dengan kenyataan terbuka Tengku Razaleigh Hamzah bahawa PMS46 bersedia untuk menumbangkan pemerintahan PAS di Kelantan pada 5 Julai 1996.

Dalam kes-kes lain pun, pemutusan hubungan kerjasama PAS dengan rakan pakatannya selalunya adalah berpunca daripada pengkhianatan rakan pakatannya terlebih dahulu.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 22/8/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.