Dr Khairuddin bersalah, pulangkan gaji Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah didapati gagal mematuhi peraturan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020.

- Advertisement -

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan Menteri itu telah didapati melakukan kesalahan menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta 342].

Sehubungan itu, KKM telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 ke atas Khairuddin menerusi Pegawai Diberi Kuasa (PDK) pada 7 Ogos lalu dan beliau telah menjelaskan kompaun tersebut.

Menteri itu telah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu di mana sampel ‘nasopharyngeal swab‘ kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif termasuk ujian saringan COVID-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.

Dato’ Dr Khairuddin telah menjadi ‘kegemparan’ awam apabila didakwa tidak mematuhi perintah kuarantin wajib 14 hari oleh pemimpin DAP, Teresa Kok Suh Sim yang juga Ahli Parlimen Seputeh semasa Sidang Dewan Rakyat, kelmarin dahulu.

Laporan polis turut dibuat pihak-pihak DAP ke atas beliau, namun Menteri itu memaklumkan saringan telah diikutinya serta menyerahkan siasatan dilakukan dan diperjelaskan oleh pihak KKM.

Sementara itu, Dr Khairuddin dalam reaksinya telah memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku dan mengakui bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan operasi prosedur standard (SOP) berkaitan.

“Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai Menteri untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke Tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini. Saya juga akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri.

“(Ini) bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/8/2020

- Advertisement -