TG Baqi dianugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Tokoh Ulamak, Tuan Guru Mohd Baqi Othman telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1442 Peringkat Negeri Pahang sempena sambutan yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini.

- Advertisement -

Penganugerahan tersebut telah disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Tuan Guru Mohd Baqi yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pahang itu berasal dari Kampung Kening, Chenor dan kini menetap di Darul Ridhuan, Kampung Lanting, Chenor Pahang memiliki sebelas cahaya mata.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampung halamannya dan menyambung pengajiannya di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan pada tahun 1958 selama sepuluh tahun sebelum melanjutkan pelajaran di Makkah.

Beliau mengikuti bidang Syariat Islam di Darul Ulum selama enam tahun di sana dan antara gurunya adalah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Lubuk Tapah, Syeikh Daud Sulaiman al-Kalantani, Syeikh Muhammad Alwi al-Makki dan Syeikh Hassan Masyath.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau berjaya menubuhkan dua pondok iaitu Pondok Pengajian di Kampung Sungai Gau, Temerloh dan Madrasah Saadah Al-Daraini di Kampung Lanting, Chenor yang juga dikenali sebagai Pondok Lanting.

Beliau juga aktif berkecimpung dalam arena politik menerusi kerja-kerja dakwah dan pernah dilantik sebagai Yang DiPertua PAS Kawasan Maran, Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat.

Malah, mewakili simbol bulan purnama, beliau juga pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 dan 1995 di DUN Chenor sebagai calon PAS.

Beliau juga merupakan pengasas kepada telaga Air Gau di Temerloh pada tahun 1991 yang cukup terkenal dan laris di pasaran di mana sumber air ini ditemui beliau setelah bersolat hajat lalu mendapat petunjuk dari Allah melalui mimpi. – HARAKAHDAILY 21/8/2020

- Advertisement -