Muslimat bimbing kursus solat untuk pesakit

PAYA BESAR: Muslimat PAS Cawangan Chendering telah menyantuni warga emas di perkampungan ini dengan mengadakan Kursus Ibadah Solat Ketika Sakit bertempat di Balai Purnama, di sini semalam.

Advertisement

Kursus ini bertujuan meningkatkan kefahaman berkaitan pelaksanaan solat sebagai kewajiban dan tiang agama yang mesti ditegakkan walaupun ketika sakit tanpa ada alasan meninggalkannya.

Sehubungan itu, kursus ini memberi bimbingan motivasi dan praktikal dalam menjelaskan kaedah sebenar dan mudah pelaksanaan solat mengikut situasi dan keadaan diri walaupun dalam keadaan sakit.

Dipimpin oleh mantan Ketua Penerangan Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Kamariah Yatim serta dibantu Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Chendering, peserta dituntut mengikuti tunjuk ajar bermula dari lafaz niat lagi.

Peserta turut didedahkan dengan cara mengambil wuduk menggunakan botol penyembur air dan juga cara bertayammum serta sepenuhnya teori dan amali pelaksanaan solat ketika sakit.

“Inisiatif ini lantaran bila kita lakukan ziarah ke rumah, kita temui mereka terutama warga emas tidak mengerjakan solat kerana sakit dan tidak ada yang membantu.

“Sedangkan dalam Islam mengajar solat hatta dengan kerdipan mata. Kena belajar, cari ilmu. Tetapi hari ini kami Muslimat mengambil inisiatif ajarkan.

“Kami berharap anak-anak atau cucu-cucu mereka juga belajar mengenai perkara ini untuk membantu mereka (warga emas yang sakit) mengerjakan solat,” ujar Pengarah Kursus, Nora Ahmad. – HARAKAHDAILY 21/8/2020