Langgar 6 kereta memandu bawah pengaruh dadah

- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan melanggar enam kenderaan termasuk sebuah Ford Mustang di lokasi berbeza di Seberang Perai Tengah (SPT) di sini kelmarin.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah SPT ACP Shafee Abd Samad berkata suspek berusia 28 tahun terbabit ditahan selepas polis menerima laporan daripada enam mangsa mendakwa kenderaan dipandu mereka dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam kejadian bermula 12 tengah hari hingga 3:30 petang.

“Berdasarkan maklumat daripada enam pemandu itu, sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki telah melanggar kenderaan mereka di kawasan Jalan Bukit Tengah, Jalan Kebun Sireh, Jalan Murthy, Jalan Ooi Chooi Ceng, Jalan Muthu Pallaniappan dan Jalan Arumugam Pillai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis Methamphetamine.

“Polis tidak menolak kemungkinan semasa lelaki itu melanggar enam buah kereta tersebut dia di bawah pengaruh dadah dan suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. BERNAMA   

- Advertisement -