Kuatnya Melayu bila bermuafakat

- Advertisement -

TEGAS betul Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Pusat. Hentikan perdebatan terbuka dan kembali ke meja rundingan atau bertanding secara persendirian dalam PRU15 nanti jika masih berlakunya perdebatan terbuka.

Beginilah, berbalik semula kepada sejarah lalu. Bangsa Melayu ini mempunyai Nasionalisme yang kuat. Bangsa Melayu juga adalah bangsa yang paling terkehadapan dalam menentang sebarang bentuk penjajahan. Bukan seorang dua tokoh dan pahlawan Melayu ditangkap, diburu dan dibuang negeri oleh penjajah terdahulu, malah ada yang dibunuh hanya kerana mempertahankan kehormatan bangsa, watan dan agama tercinta.

Melayu bila bersatu, bergegar pejabat kolonial British di London satu masa dahulu sewaktu Malayan Union diperkenalkan pada tahun 1946-1948. Seluruh bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu keluar beramai-ramai dan berhimpun membantah perlaksanaan Malayan Union oleh penjajah British.

- Advertisement -

Nostalgia ini sekali lagi diperlihatkan bila mana Melayu bersatu dalam membantah ICERD yang mahu diratifikasikan oleh Kerajaan PH tanggal 8 Disember 2018. 

Persis!

Erti kata lain, bangsa Melayu jika diusik, dicuit, diganggu gugat hal-hal yang berkait institusi Raja-raja Melayu, adat istiadat Melayu bahkan kemuliaan agama Islam, semestinya akan tercabar. Baran Melayu jangan dipandang enteng.

Masih berlegar di minda saya, penerangan guru saya di SMKA Arau tahun 1997, Ustaz Ahmad Abdul Rahman menyatakan:

“Allah mengurniakan kepada bangsa Melayu dengan dua kelebihan sahaja; (1) Kepetahan lidah bila bertutur dalam bahasa asing, (2) Kepintaran berpolitik.”

Sekarang saya perlu akui, penerangan guru saya ada asas dan logik. Bangsa Melayu pintar berpolitik, terlalu pintar sehingga berpecah belah dan mengambil masa yang panjang untuk bertaut kembali persaudaraan. 

Jadi, kembalilah ke meja rundingan. Balah Melayu yang hanya merugikan anak bangsa saja. Tiada siapa pun yang beroleh manfaat.

Bak kata pepatah pepatah Melayu:

 “Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat”, “Jangan laksana katak, sedikit hujan banyak bermain.”

Nota: Nenek moyang dahulu kala sudah berpesan.

NOR AZIZUDDIN ABDUL MANAN 
Penyelidik Ph.D
Di salah sebuah universiti awam tempatan – HARAKAHDAILY 21/8/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -