Isu FELDA akan dibentangkan pasukan khas

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Pasukan Khas Menangani Isu FELDA yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar akan membentangkan laporan penuh berkaitan agensi itu termasuk usaha pengukuhan kewangannya, selewat-lewatnya awal bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata laporan itu merupakan susulan daripada pembentangan kertas putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan’ (FELDA) yang dibentangkan di Parlimen pada April tahun lalu. 

“Pasukan khas ini yang ditubuhkan kerajaan telah hampir siap laporannya dan kami jangka seminggu dua lagi akan disampaikan secara rasmi kepada kerajaan.

- Advertisement -

“Pembentangan dijangka bulan ini, atau paling lewat awal bulan depan dan kami harap pada bulan Oktober, kerajaan akan dapat mengumumkan beberapa tindakan untuk memastikan kelestarian FELDA,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan FELDA Trolak Utara dan Selatan di Slim River di sini, semalam. 

Pengumuman mengenai penubuhan Pasukan Khas Menangani Isu FELDA dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020 bulan lalu di sini dalam usaha mengenal pasti kaedah terbaik bagi menjamin kelestarian kewangan FELDA demi manfaat warga peneroka. 
 
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata selain mencari kaedah untuk memperkukuhkan kewangan FELDA, laporan itu turut akan mengandungi model bagi mengurangkan beban hutang yang ditanggung peneroka dan usaha meningkatkan pengeluaran.

“Hari ini pengeluarannya adalah antara 19 hingga 20 tan bagi setiap 0.40 hektar setahun kepada sasaran 25 tan setahun dan sasaran ini mampu dicapai dengan teknologi baru,” katanya. 

Mengenai Lembah Herba Wilayah Trolak sebagaimana diumumkan Muhyiddin sebelum ini, Mustapa berkata ia merupakan antara usaha untuk meningkatkan pendapatan dengan pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk memastikannya kejayaannya. – BERNAMA

- Advertisement -