Belia cekal kini penternak ikan berjaya

- Advertisement -

KUNAK: Menternak ikan di dalam sangkar bukan satu pekerjaan yang mudah, namun minat yang mendalam mendorong seorang pemuda untuk terus cekal dalam bidang itu yang diceburinya sejak 2015 dan kini menikmati hasil yang lumayan.

Mohamad Adzlan Abdullah, 25, dari Kampung Pangi Hujung di sini, berkata beliau mula berjinak-jinak dalam bidang ternakan ikan dalam sangkar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun hanya memulakan perusahaan itu secara serius kira-kira lima tahun lalu dengan modal RM100,000.

“Selepas mengambil SPM, bapa mendorong saya untuk mengikuti kursus ternakan ikan dalam sangkar bagi menambah ilmu. Dengan dorongan bapa, saya mulakan perusahaan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

- Advertisement -

Menurutnya beliau kini menternak kira-kira 50,000 ekor ikan kerapu hibrid dan siakap untuk pasaran seluruh Sabah.

Ikan terbabit boleh dijual selepas tiga bulan dan setiap ekor dijual pada harga RM4, katanya, menambah beliau juga mendapat bantuan daripada Jabatan Perikanan Sabah. 
 
“Nasihat saya kepada belia ialah rebutlah peluang yang disediakan oleh kerajaan dan bayar balik jasa ibu bapa kita,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim berkata pihaknya melaksanakan projek perintis ternakan ikan dalam sangkar di Semporna, Tuaran dan Kunak, membabitkan 150 peserta.

Projek ini akan diperluas ke daerah lain dalam fasa dua melibatkan Sandakan, Lahad Datu khususnya di Silam dan Pantai Barat Kota Belud serta Kuala Penyu, katanya, menambah pihaknya akan membekalkan petak sangkar, benih dan makanan ikan untuk memulakan projek.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM13 juta pada belanjawan tahun lalu bagi membangunkan projek perintis ternakan ikan dalam sangkar di Tuaran, Semporna dan Kunak.

Untuk rekod, sektor perikanan Sabah menyumbang kira-kira RM2.8 bilion kepada hasil negeri setiap tahun. – BERNAMA

- Advertisement -