Ameerah Perak bantu gerak kerja PRK Slim

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Ameerah komited memberi sokongan penuh terhadap Perikatan Nasional termasuk dalam membantu gerak kerja memenangkan calon Barisan Nasional di PRK DUN N.58 Slim.

- Advertisement -

Kenyataan itu dijelaskan Timbalan Ketua Ameerah Negeri Perak, Nuradila Mohd Kamal ketika ditemui di Pondok Muallim, Slim River sempena taklimat petugas pilihan raya HALWA Perak di sini, semalam.

Terangnya, meskipun calon yang bertanding di N.58 ini merupakan calon daripada Barisan Nasional, namun PAS tetap menggerakkan ahlinya bagi memastikan kemenangan diraih dalam PRK ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Ameerah Tambun memaklumkan, anggota-anggotanya bersedia memberikan komitmen sepenuhnya terhadap arahan pucuk pimpinan PAS.

“Inilah masanya (untuk) kita sahut seruan jihad bertepatan dengan peristiwa Hijrah yang menuntut kita (untuk) berjuang,” terang Nuradila.

Tambahnya, Ameerah selaku entiti muslimat muda PAS hendaklah sentiasa bersiap siaga dari semasa ke semasa untuk melibatkan diri dalam gerak kerja perjuangan khususnya pilihan raya.

Hal sedemikian kerana kongsinya, pilihanraya merupakan medan berbeza dengan gerak kerja lain di mana ia memerlukan kerahan tenaga yang banyak untuk dilaksanakan.

Bagi memanfaatkan hakikat anak muda yang bersifat idealistik dan proaktif terangnya, kemahiran dan daya fikir anak muda hendaklah ditonjolkan dengan memastikan keterlibatan diri dalam setiap seruan jihad parti.

“Inilah masanya untuk golongan muda mendapat pengalaman. Kita bergabung dengan Muslimat PAS yang telah banyak mengetahui selok belok gerak kerja pilihan raya. Garaplah peluang ini sebaiknya,” pesannya. – HARAKAHDAILY 21/8/2020

- Advertisement -