2020: Belajar dari wawasan yang was-was

- Advertisement -

PADA 28 Februari 1991, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap dalam satu program anjuran Majlis Perdagangan Malaysia telah melancarkan satu rancangan pembangunan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Rancangan ini dikenali sebagai Wawasan 2020, iaitu pelan pembangunan jangka panjang bertempoh 30 tahun. Genap 28 Februari 2020, ditakdirkan Allah menjadi hari terakhir bagi Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Interim, selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Keenam pada 24 Februari 2020. 1 Mac 2020, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Pada 7 Ogos 2020, Tun Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru, iaitu parti yang dinamakan sebagai Pejuang pada 12 Ogos 2012. Tujuannya adalah membersihkan negara ini daripada politik wang dan rasuah yang dikatakan telah merosakkan negara. Dalam kata lain, politik wang, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kezaliman, penindasan dan segala kebobrokan adalah anasir berlaku dan berkembang dalam tempoh 30 tahun tersebut. Ertinya, sebagai Perdana Menteri sejak 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020, beliau gagal membina Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih dari segala elemen negatif tersebut, bahkan beliau gagal juga menjadi Malaysia sebuah negara maju.

Adakah Tun Mahathir hendak menyalahkan semua itu kepada Pak Lah atau Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri 2003-2009) dan Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri 2009-2018)? Sedangkan semua orang tahu bahawa mereka berdua bukan sahaja anak didik Tun Mahathir di dalam Umno sejak awal 1980-an, bahkan Tun Mahathirlah yang mengangkat mereka sebagai Perdana Menteri. Jika kita masih ingat akan tragedi politik 1998, seluruh juak-juak Umno yang meninggalkan parti itu untuk mendukung reformasi Anwar Ibrahim telah mendedahkan apa yang disebut sebagai KKN (Kolusi, Korupsi dan Nepotisme) Tun Mahathir.

- Advertisement -

Senarai panjang mengenai kezaliman dan politik kuku besi Tun Mahathir telah ditulis orang, senarai penyelewengan, rasuah, salah laku, salah guna kuasa hingga politik wang pada zaman Tun Mahathir (1981-2003) juga telah diperkatakan. Dari skandal BMF di Hong Kong hingga skandal kerugian Bank Negara, dari isu bail-out kroni-kroni hinggalah isu pembinaan istana di Putrajaya, dari skandal PERWAJA hingga skandal PKFZ. Kemudian ia membiak dalam pergerakan politik sehingga budaya politik wang begitu terkenal dalam Umno, dengan beberapa pemimpin utama Umno telah disabitkan. Ini menunjukkan bahawa budaya rasuah dan politik wang telah dibiakkan pada zaman Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, sehingga seorang bekas menteri dalam Kabinet Tun Mahathir sendiri menggelarkan Tun Mahathir sebagai ‘Bapa Perompak Negara.’

Berbalik kepada persoalan Wawasan 2020 yang boleh disimpulkan sebagai gagal itu, ia telah hancur di hadapan mata Tun Mahathir sendiri. Dalam tahun 1991 itu, Tun Mahathir menanamkan satu kapsul masa berkait wawasan itu di The Mall. Di manakah kapsul itu sekarang agaknya? Kita boleh merumuskan daripada perjuangan baru Tun Mahathir di dalam Pejuang ini sebagai terjemahan terhadap: 

(I) Kegagalan Tun Mahathir untuk menghapuskan budaya rasuah dan politik wang dalam negara ini, dan,

(II) Kegagalan Tun Mahathir untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.

Apakah punca utama kegagalan Wawasan 2020? Ia gagal kerana Idealisme ini dibangun dan dirancang untuk tujuan material sahaja. Kemajuan yang digambarkan oleh tumbuhnya bangunan dan industri, meningkatnya KDNK dan pendapatan perkapita, dan lebih dahsyat lagi apabila ia diwakili oleh kejayaan kita membina bangunan tertinggi, jambatan terpanjang, mall terbesar dan lapangan terbang tersibuk. Seluruh asas ukuran pencapaian adalah kebendaan, sama ada bangunan, pembangunan atau pertumbuhan ekonomi.

Pembangunan manusia sebagai pemain utama pembangunan fizikal hampir terabai, terutama dalam aspek pembinaan akhlak dan hubungan dengan Tuhan. Tuhan hanya wujud di rumah-rumah ibadat sahaja, tetapi tidak wujud dalam rumah tangga, pejabat kerajaan dan aktiviti perpolitikan. Slogan-slogan berbau agama seperti Kepimpinan Melalui Teladan, Bersih, Cekap dan Amanah (BCA), Penerapan Nilai-nilai IslamMasyarakat Madani dan seumpamanya hanya menjadi kosmetik untuk menghiasi bibir-bibir pemimpin agar mereka dapat mengaburi mata rakyat. Tiada penegasan terhadap peranan syariat dalam pentadbiran negara, tiada juga penerapan nilai ihsan kepada pemimpin dan pegawai kerajaan.

Yang paling jelas bahawa Kerajaan BN di bawah Tun Mahathir tidak berusaha untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai hamba yang patuh kepada Allah. Rakyat tidak dibawa untuk membuat persiapan bagi kehidupan akhirat. Rakyat juga tidak ditanamkan dengan rasa cinta untuk berkhidmat kepada agama dan menghayati kehidupan beragama. Dunia yang dikejar oleh rakyat tanpa dibaluti oleh wawasan akhirat. Akhirnya dunia entah ke mana, akhirat juga entah ke mana. Kemudian, kita berkata, sisa-sisa hidup ini hendak digunakan buat membantu agama dan bangsa! 

Kerajaan baru mesti berwawasan akhirat

Kegagalan Wawasan 2020 untuk mencapai matlamat dan sasarannya mesti menjadi pelajaran dan pengajaran yang terbesar buat kerajaan baru. Lima bulan telah berlalu, dan rakyat mulai menilai kesan-kesan segera daripada dasar-dasar pemulihan yang dibuat pasca krisis politik pada Februari 2020 itu. Kita jangan merasa ‘sedap hati’ apabila rakyat mulai positif dengan kejayaan mengawal pendemik COVID-19, memulihkan sedikit pertumbuhan ekonomi dan mententeramkan pergolakan sosial. Sebaliknya kita mesti belajar daripada kegagalan Tun Mahathir mencipta sebuah masyarakat bahagia di sebalik kejayaan menjadikan Malaysia sebagai harimau ekonomi Asia dahulu.

Teori ‘Masyarakat Bahagia’ ini telah diperkatakan panjang lebar oleh ahli-ahli falsafah Islam seperti al-Farabi dan Ibnu Sina dalam mengungkap konsep al-Madinah al-Fadhilah (Negara Ideal). Bagi mereka setiap rakyat mempunyai matlamat tertinggi iaitu as-Saadah (kebahagiaan dunia dan akhirat). Kepemimpinan yang berilmu, adil, tunduk dan patuh kepada perintah agama Islam akan membentuk sebuah negara ideal yang menatijahkan kebahagiaan kepada rakyat. Mereka bukan sahaja bahagia di dunia, tetapi juga di akhirat. Sebalik umat Islam yang diperintah oleh pemimpin yang alpa agama, akan membentuk sama ada negara bodoh, negara merosot atau negara sesat.

Pemimpin baru pasca Tun Mahathir mestilah melihat secara menyeluruh rencana-rencana pembangunan rakyat yang sedang disusun atur. Aktiviti ekonomi, politik dan sosial rakyat mesti disambungkan terus dengan kehidupan akhirat, sehingga rakyat secara jelas melihat objektif ini di dalam kerangka fikiran mereka. Agama Islam mesti menjadi dasar dalam pembentukan kebijakan negara. Semua urusan mesti diselaraskan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Lalu pelan-pelan pembangunan ekonomi dan sosial tidak boleh meminggirkan kedudukan agama, ahli-ahli politik juga mesti bergerak di atas landasan agama. Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Terserah kepada kita untuk menginterpretasinya. Maka, atas asas itu, kenapa kita tidak mahu memberikan satu tanggapan bahawa Islam mesti menjadi teras wawasan negara.

Wawasan 2020 telah membuatkan kita was-was. Maka bergeraklah dengan Wawasan Akhirat dengan penuh yakin. Insya-Allah kita akan berjaya di kedua-dua negeri – dunia dan akhirat.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 21/8/2020

- Advertisement -