Ulamak mesti pertahankan parti dan kerajaan

- Advertisement -

Catatan ucapan SENATOR DATO’ USTAZ HAJI HUSAIN AWANG, Ahli Majlis Syura Ulamak dan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Terengganu petang Khamis, 20 Ogos hari ini.

- Advertisement -

KITA bermesyuarat dalam semangat menyambut Hijrah. Jarang mesyuarat berlaku pada 1 Muharram. Juga dalam suasana pandemik COVID-19. Ini sedikit sebanyak mungkin membantutkan kehadiran yang sepatutnya ramai bagi menunjukkan kesatuan fikrah dan kebulatan fikrah.

Di awal tahun 1980-an, Dewan Ulamak PAS Terengganu antara penggerak penting parti di Terengganu. Ia dipimpin oleh mereka yang hebat. Sebahagian mereka telah meninggal dunia. Kita mewarisi kepimpinan dan amanah parti, jemaah. Sama ada suka atau tidak, kita mesti pikul tanggungjawab ini sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di bumi.

Kita mesti kembalikan semula kehebatan Dewan Ulamak. Dahulu, yang membentuk kita menjadi pemimpin ialah Dewan Ulamak, melalui pelbagai program.

Di negeri lain, tiada sekolah yang berada di bawah Dewan Ulamak secara rasmi. Di Terengganu, kita ada Madrasah DAR. Inilah antara hasil usaha Dewan Ulamak sebelum ini. Ambillah dan pikullah amanah ini. Usahakanlah untuk menambahkan DAR.

Kita menghadapi cabaran apabila kita menjadi kerajaan negeri, lalu kerajaan membina sekolah yang menggunapakai silibus DAR. Tentu prasarananya tidak sama dengan sekolah kelolaan di bawah Dewan Ulamak. Saya sangat sensitif dengan DAR ini. Oleh itu janganlah kerana kita sudah menjadi kerajaan, lalu kita berhenti membuat program untuk menambah dana madrasah DAR seperti program makan malam dan lain-lain.

Kita dalam suasana politik yang berbeza. Sebelum PRU14, digagaskan budaya politik matang dan sejahtera. Ia terbukti berkesan. Kita telah yakin melalui PRU14 lepas, kita tak mampu rampas kerajaan, tetapi kita mampu membudayakan politik matang dan sejahtera.

Antaranya meletakkan PAS sebagai berperanan penting. Kita menang 18 kerusi Parlimen. Umno, BN juga menang tidak banyak. Walaupun kita ada 18 kerusi, tetapi kita ada suara yang diterima dalam pembentukan Kerajaan PN sekarang.

Pada 14 September 2019 dimeterai piagam Muafakat Nasional (MN). Parti BERSATU yang asalnya dalam PH, keluar dan kita membentuk PN. Dengan kebijaksanaan pimpinan PAS, BERSATU dibawa bersama dalam MN kerana kita mahu menyatukan umat dan suara Islam. Insya-Allah akan dimeterai juga pada 14 September 2020.

Kita berpegang kepada dasar perjuangan. Adakah bila kita bersama dengan Umno, bermakna kita lari dari dasar? Baca balik Perlembagaan PAS. Kita dibenarkan bekerjasama dengan kumpulan tertentu yang boleh membawa kebaikan untuk Islam. Dari sudut agama, kita tidak larut dalam kerjasama ini. Kita tetap kekal dengan identiti dan prinsip kita. Kita mahu menyelamatkan negara dari tangan penentang Islam yang lebih kuat.

Bila kita jadi kerajaan peringkat negeri, kita akan lihat ramai yang bersama kita. Pengalaman tahun 2000 perlu jadi panduan. Kita mesti terang kepada mereka dasar perjuangan kita, akhlak dan matlamat parti. Bangun dan bangkitlah untuk pertahankan teraju parti dan kerajaan.

Andainya nanti saya tidak lagi menjadi Pesuruhjaya Negeri, insya-Allah saya akan kembali kepada Dewan Ulamak, kerana saya masih ingat, ketika saya balik ke Terengganu lama dahulu, saya terus menjadi Setiausaha Dewan Ulamak PAS Terengganu pada tahun 1980.

Dicatat oleh:
USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pengerusi Lajnah Media Baharu
Dewan Ulamak PAS Terengganu – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -