Perutusan Maal Hijrah Ulamak PAS Pusat

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan Selamat Tahun Baru 1442 Hijrah kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini kita semakin dekat hubungan dengan Allah dan memperbanyakkan amalan soleh dan ibadah di sisi-Nya. 

Tahun baru Islam memperingatkan kita kepada peristiwa agung iaitu Hijrah Rasul. Dan penetapan taqwim Islam adalah berdasarkan penentuan tahunan dengan merujuk kepada tahun berlakunya Hijrah Rasul sebagaimana yang dipersetujui dalam perbincangan di zaman Sayiduna Umar al-Khattab. Menunjukkan betapa besarnya dan agung peristiwa Hijrah Rasul ini malah dalam perbahasan ilmu Ulum al-Quran sekalipun, 114 surah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Makkiyah dan Madaniyyah juga merujuk kepada wahyu yang turun atau selepas peristiwa Hijrah Rasul. 

Hijrah Rasul yang akhirnya berjaya membentuk Negara Islam di Madinah dengan kuasa politik yang didukung oleh kekuatan persaudaraan dan kesatuan ummah oleh Muhajirin dan Ansar serta Aus dan Khazraj menunjukkan beberapa perkara penting iaitu:

- Advertisement -

(i) Kekuatan kesatuan ummah di Madinah yang berjaya memimpin masyarakat di Madinah dan mengatasi kuasa monopoli 3 kaum Yahudi iaitu Nadhir, Qainuqa’ dan Quraizah dalam sektor tertentu termasuklah ekonomi.

(ii) Hijrah Rasul menjadi bukti survival perjuangan politik membina negara adalah maslahat besar jika hendak dibandingkan dengan kelebihan atas ibadah persendirian yang boleh diperolehi jika kekal dalam Makkah dengan adanya Kaabah di dalamnya. Ini kerana kebaikan politik Islam akan dirasai oleh semua umat dan rakyat yang berada di bawahnya. Sebab itu tidak hairanlah dalam 7 golongan di akhirat yang mendapat perlindungan dan naungan dari Allah disenaraikan pemimpin yang adil senarai pertama. 

Kejayaan hijrah Rasul menunjukkan kepentingan berstrategi dalam menjayakan sesuatu perancangan. Ini dapat dilihat bagaimana perancangan-perancangan yang berlaku seperti:

(i) Pemilihan bulan untuk Rasulullah S.A.W pada bulan Safar kerana di bulan ini, kaum Quraisy kembali keluar Makkah berdagang setelah berada dalam Makkah semenjak bulan Zulkaedah. Maka ia mengelakkan kesangsian pihak Musyrikin jika mendapati ketiadaan Rasulullah S.A.W jika tiada dalam Makkah.

(ii) Hijrah Rasul dilaksanakan dengan pelawaan dari kaum Aus dan Khazraj setelah termeterainya 2 kali Perjanjian Aqabah yang menyaksikan kesediaan kaum Aus dan Khazraj menyambut kehadiran Baginda S.A.W ke Yathrib (nama lama bagi Madinah sebelum berlaku hijrah). 

(iii) Penyusunan posisi penggerak dalam menjayakan agenda hijrah Rasul dengan kaum pemuda diposisikan di bahagian getir dan besar tanggungjawabnya iaitu Sayiduna Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Abu Bakr serta Amir bin Fuhairah. 

(iv) Peranan Muslimat juga terserlah dengan watak Asma binti Abu Bakr berperanan menyediakan makanan dan ulang alik menghantar ke Gua Thur sepanjang persembunyian Rasulullah S.A.W bersama Sayiduna Abu Bakr di dalamnya.

DUPP juga amat kesal dan mengkritik apabila adanya pihak yang cuba menjustifikasi hijrah Rasul sama dengan pelarian. Perkara sebegini jelas tidak beradabnya dengan Rasulullah S.A.W kerana peristiwa hijrah Rasul sangat agung dan banyak faedahnya yang dinyatakan sebahagiannya di atas. Apatah lagi, justifikasi hijrah Rasul sebagai pelarian adalah bersumberkan dari penulisan Orientalis Barat. Maka umat Islam perlu memahami Islam dari sumber kajian para ulamak bukannya Orientalis Barat kerana boleh terjadi penyelewengan dari perkara yang sebenar. 

Firman Allah S.W.T :

ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ أَعۡظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡفَاۤىِٕزُونَ

“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

[At-Tawbah: 20]

Sekian. 

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -