Penyatuan membina peradaban

- Advertisement -

MAJORITI umat Islam di negara ini bersyukur apabila tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh parti-parti Bumiputera Muslim serta didukung oleh parti-parti Bumiputera Sarawak dan Sabah, yang turut disertai parti-parti bukan-Melayu. Semenjak kemerdekaan dan pembentukan Barisan Nasional (BN), saat inilah umat Islam di Malaysia berada pada tahap terbaik mengikat Ukhuwah Islamiyah yang menjadi ramuan penting untuk perpaduan kaum dan integrasi nasional.

Kejayaan Umno, PAS dan BERSATU menguruskan perbezaan dan kelunakan parti-parti dalam Kerajaan PN bertolak-ansur, telah membuahkan kejayaan negara menghadapi pandemik COVID-19 dan seterusnya memacu pembangunan ekonomi pasca pandemik seperti yang mulai berhasil. Sebenarnya inilah ramuan terpenting untuk Negara Malaysia membangunkan peradaban manusia yang berteraskan Islam dan duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Bagaimanapun, mutakhir ini ada sedikit ‘kocakan air di dalam cawan’ yang cuba menggugat kesatuan ummah dan perpaduan kaum ini. Anasir gangguan ini banyak datangnya dari luar dan sedikit datang dari dalam, cuba membesar-besarkan perbezaan dalam kalangan Umno, PAS dan BERSATU seterusnya mewujudkan sikap saling mencurigai sesama sendiri. Pada ketika yang sama mereka berusaha untuk mengikis semangat bertolak ansur dalam kalangan parti-parti di dalam Kerajaan PN.

- Advertisement -

Sempena menyambut Maal Hijrah ini, marilah kita merapatkan semula saf ummah agar gangguan-gangguan syaitan yang berusaha memecah-belahkan kita dapat dihindari. Marilah kita mengambil semangat persaudaraan Muhajirin dan Ansar yang menjadi tonggak penting Rasulullah S.A.W mengorak langkah membina peradaban di Madinah seterusnya menaungi keadilan seluruh dunia. Yakinlah, kita umat Melayu dan masyarakat berbilang kaum di Malaysia berada di landasan yang betul untuk membina semula peradaban manusia berteraskan Islam. Jadikan tahun 1442 Hijri ini sebagai titik mula membina Malaysia sebagai negara berperadaban yang dihormati dunia.

Di atas robohan Pakatan Harapan,
Kita pupukkan Ukhuwah Islamiyah,
Bersatulah segenap keturunan,
Kita tegakkan Hadharah Islamiyah.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -